Kapal tangki bawa 10 kru warga Thailand rempuh tebing di Lumut

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kapal tangki merempuh tebing darat di Taman Esplanade Marina Wing, Lumut pada Isnin.

LUMUT - Sebuah kapal tangki membawa 10 kru warga Thailand yang dipercayai sedang menjalani ujian pelayaran tanpa kebenaran, merempuh tebing darat di Taman Esplanade Marina Wing di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kejadian itu dikesan pihaknya selepas satu video memaparkan insiden berkenaan tular di platform Threads kira-kira jam 10.45 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan awal mendapati kapal berkenaan sebelum ini dikenali sebagai Fuji, dipercayai bertukar pemilikan kepada pemilik baharu dari Thailand dan didaftarkan semula dengan nama Midas di negara itu.

"Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada Jabatan Laut, kapal itu keluar pada malam sebelumnya bagi menjalankan ujian pemanduan (sea trial).

Iklan

Polis mengesan kejadian itu selepas tular satu video di media sosial.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas kapal telah dijalankan oleh Polis Daerah Manjung bersama agensi berkaitan.

Iklan

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 10 kru berada di atas kapal berkenaan dan kesemuanya merupakan warga Thailand.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini. Punca sebenar kejadian serta faktor yang menyebabkan kapal tangki melanggar tebing masih dalam siasatan lanjut," katanya.

Hasbullah berkata, pihak berkuasa berkaitan turut menjalankan pemeriksaan terhadap dokumen pendaftaran, kebenaran operasi serta perkara lain berkaitan pergerakan kapal tersebut.

"Kita minta semua pihak tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai," katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 10 kru berada di atas kapal berkenaan dan kesemuanya merupakan warga Thailand.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung atau menghubungi bilik gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222.

Maklumat juga boleh disalurkan menerusi WhatsApp Hotline 017-682 8005 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Rakaman video yang tular memaparkan kapal berkenaan bergerak terlalu hampir dengan kawasan daratan dan laluan pejalan kaki sebelum merempuh tebing sehingga menyebabkan sebahagian strukturnya rosak dan pecah.