PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 berlaku akibat kelemahan kerajaan PH menangani krisis politik dan institusi diraja di negeri tersebut. Pada asasnya, PRN ini boleh dielakkan sekiranya krisis yang berlaku diurus dengan lebih hikmah, cermat dan berlapang dada.
Dalam keadaan wujud ketegangan melibatkan institusi istana dan pentadbiran negeri, Menteri Besar sepatutnya mengambil sikap lebih berkecuali serta mengelakkan kenyataan yang boleh dibaca sebagai memihak kepada mana-mana pihak dalam krisis dalaman istana. Sikap sebegini penting bagi memastikan kerajaan negeri dilihat sebagai pendamai, bukan pihak yang menambah kekusutan.
Rata- rata pengundi ketika ini dilihat mahukan kestabilan kerajaan negeri dan menolak politik yang mengganggu keseimbangan negeri serta tidak sensitif terhadap adat setempat. Oleh itu, gabungan yang dilihat menghormati adat, menjaga keharmonian dan memahami sensitiviti budaya Negeri Sembilan berpotensi menjadi pilihan pengundi.
Beberapa kenyataan pimpinan PH seperti Perdana Menteri yang hanya mengiktiraf Yang di-Pertuan Besar sedia ada dan beberapa tindakan Menteri Besar yang dianggap kurang berhati-hati dalam mengurus isu melibatkan adat dan institusi tradisi dibaca sebagai bentuk campur tangan dalam urusan negeri.
Malah gurauan bekas Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah, yang juga calon PH Paroi, yang menggelarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai “Undang Lima” dianggap sebagai tidak menghormati adat dan institusi tradisi.
Pengundi Negeri Sembilan menilai ini sebagai satu langkah tidak wajar dalam adab politik, penghormatan terhadap budaya, keupayaan menjaga keharmonian serta kesungguhan mempertahankan Islam dan adat yang menjadi nadi negeri.
Landskap pertandingan pula jelas kompleks. PRN ini menyaksikan 103 calon bertanding di 36 kerusi, dengan banyak kawasan menyaksikan pertandingan tiga penjuru, malah ada yang empat dan lima penjuru. Dalam keadaan sebegini, penyelarasan kempen menjadi faktor yang sangat menentukan.
Dalam tinjauan di beberapa kawasan seperti Serting, Pertang dan Paroi, sambutan terhadap jentera PN dan BN dilihat positif. Pengundi menunjukkan kecenderungan menyokong parti yang menghormati adat, menjaga keharmonian, mempertahankan Islam dan tidak mengheret negeri kepada ketegangan politik yang tidak perlu.
Walaupun kerjasama PN-BN mula menampakkan keserasian, ia tetap tidak boleh diambil sambil lewa. Realitinya, tidak semua pengundi BN akan secara automatik menyokong PN di kawasan yang tiada calon BN. Begitu juga sebaliknya, tidak semua pengundi PN akan terus memberi undi kepada BN di kawasan yang tiada calon PN.
Oleh itu, jika PN-BN berhasrat untuk memenangi PRN ini, mereka perlu menjelaskan kepada ahli dan rakyat di peringkat akar umbi alasan mengapa gabungan PN-BN penting dalam PRN ini.
Pengundi perlu diyakinkan bahawa kerjasama ini bukan sekadar susunan calon, tetapi gabungan politik yang mampu menyelamatkan kepentingan Melayu-Islam di samping menjaga kepentingan bukan Melayu secara adil.
Pengundi perlu tahu bahawa perubahan hanya mungkin berlaku melalui undi yang tersusun. Jika ini mesej ini dapat disampaikan oleh kedua-dua jentera PN-BN, peluang menumbangkan PH akan menjadi lebih realistik.
Di sebalik kemeriahan kempen PN, BN dan PH, kehadiran jentera Bersatu tidak kelihatan signifikan di banyak kawasan. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada Bersatu benar-benar memasuki PRN ini dengan kesiapsiagaan organisasi yang mencukupi, atau sekadar menjadi faktor yang boleh memecahkan undi.
Bersatu mengumumkan 24 calon, termasuk dua daripada URIMAI yang bertanding menggunakan logo Bersatu termasuk menentang calon PN di 8 DUN. Kemasukan Bersatu terutama di kawasan yang bertindih di kawasan PN ditafsirkan sebagai kacau daun dan memecah belah undi teras kaum melayu kepada Pas atau UMNO.
Dari sudut strategi pilihan raya, pertindihan blok anti-PH ini boleh memberi kelebihan kepada PH jika pengundi tidak membuat pertimbangan taktikal. Bersatu kini bukan lagi berada pada kedudukan seperti dahulu.
Kini, tanpa kuasa pusat, berdepan masalah dalaman dan perpecahan naratif dengan kemunculan Wawasan, daya tarikannya semakin merosot.
Ketika gelombang besar menyokong PN dalam PRN 2023 sekalipun, Bersatu hanya mampu menang dua kerusi di Negeri Sembilan sementara PN secara keseluruhan memperoleh lima kerusi. Maka, apabila Bersatu bertanding di kawasan yang turut mempunyai calon Pas atau Wawasan, risiko pecah undi Melayu menjadi lebih nyata.
Akibatnya, PH boleh menang bukan kerana memperoleh sokongan majoriti Melayu, tetapi kerana undi Melayu berpecah sementara undi bukan Melayu lebih terkonsolidasi.
Inilah risiko terbesar apabila parti yang tidak mempunyai gabungan kukuh tetap bertanding dalam suasana pilihan raya yang memerlukan disiplin politik dan penyusunan undi.
Kesimpulannya, PRN Negeri Sembilan selepas beberapa hari kempen memperlihatkan persaingan yang semakin jelas antara dua hala tuju.
Pertama, mengekalkan politik PH yang semakin dipersoalkan dari segi kestabilan, sensitiviti adat dan keupayaan mengurus negeri secara harmoni.
Kedua, membina penyusunan baharu melalui kerjasama PN-BN yang lebih stabil, berakar pada adat dan lebih jelas mempertahankan kepentingan Melayu-Islam tanpa menafikan hak bukan Melayu.
Manakala undi untuk pihak ketiga adalah satu tindakan yang dilihat sia-sia demi menjaga kestabilan negeri. Rakyat kini mahu mengundi gabungan yang stabil, jelas pendiriannya dan benar-benar mempunyai kemampuan membentuk kerajaan.
Dalam konteks ini, Bersatu dilihat seperti sebuah gabungan calon “bebas” dan tidak mungkin membentuk kerajaan. Secara realistik, pilihan rakyat tertumpu kepada dua blok utama, iaitu PH atau PN-BN.
Negeri Sembilan memerlukan pilihan politik yang matang, menghormati adat, berwibawa dari sudut governans dan mampu membina kestabilan. PRN ini bukan sekadar soal siapa menang, tetapi sama ada rakyat berani menyusun undi untuk masa depan negeri yang lebih tertib, harmoni dan berpaksikan kepentingan rakyat terbanyak.
* Penulis ialah Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi), Yayasan Strategik Lestari Pemerhati politik semasa