SEREMBAN – Pas didakwa menggunakan penyatuan Melayu sebagai modal politik bagi mendapatkan kuasa dan meraih sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil berkata, rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan naratif tersebut sedangkan parti itu tidak mempunyai sebarang tawaran kepada rakyat.
"Untuk mereka mendapat kuasa dan menjadi kerajaan, mereka menggunakan penyatuan umat Melayu ini sebagai 'candu' untuk menipu kita.
"Jadi, jangan kita tertipu kerana mereka tidak ada apa-apa pun untuk ditawarkan kepada rakyat.
"Sebut tentang penyatuan umat Melayu, apa tawaran untuk menyelesaikan kemiskinan Melayu? Tiada.Apa tawaran untuk menyelesaikan masalah ekonomi, pendidikan dan sosial? Tiada. Tetapi yang mereka bicarakan hanyalah tentang penyatuan Melayu," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di sini pada Rabu.
Muhammad Faiz turut mendakwa bahawa Pas sebenarnya yang menjadi punca perpecahan orang Melayu.
Jelasnya, ia terbukti apabila parti itu cuba bekerjasama dengan parti-parti lain sebelum ini, namun akhirnya berpecah.
"Mereka bercakap tentang penyatuan Melayu, tapi merekalah pemecah orang Melayu. Dulu berkawan dengan Bersatu kemudian bergaduh, selepas itu berkawan pula dengan UMNO.
"Jadi nampak tak permainan Pas yang memecahkan orang Melayu. Sebenarnya ini bukan penyatuan Melayu tetapi perpecahan Melayu,"katanya.
Tambahnya, Pakatan Harapan(PH) merupakan gabungan yang ikhlas mahukan penyatuan Melayu, bukannya di bawah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN)
Ujarnya, mereka merupakan gabungan yang sentiasa menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam, selain dipimpin oleh pemimpin Melayu beragama Islam.
"Insya-ALLAH, PH akan sentiasa menjaga Melayu dan Islam. Datuk Seri Anwar Ibrahim Melayu, Datuk Mohamad Sabu Melayu, saya pun Melayu dan calon-calon PRN pun Melayu.
"Apa yang kita tidak bawa tentang Melayu? Kita juga mahu Melayu bersatu. Tetapi bukan Melayu sahaja, sebaliknya perlu bersama kaum Cina dan India dalam negara ini," katanya.