MIRI - Seorang lagi mangsa kejadian perahu karam di Sungai Seperot, berhampiran Long San, Baram ditemukan lemas pada Rabu, menjadikan dua mangsa disahkan maut manakala dua lagi masih hilang.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan mangsa yang ditemukan ialah Joshua Uken Mathew, 38, yang juga bapa kepada mangsa pertama, Jovian Jangin Joshua, empat tahun, yang ditemukan lemas semalam.
Menurut kenyataan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat pada jam 1 tengah hari iaitu penduduk kampung telah menemukan satu mayat di tepi sungai kira-kira jam 9 pagi Rabu, sekitar dua jam perjalanan bot dari lokasi perahu dipercayai karam.
"Pasukan bomba kemudian menggunakan bot milik penduduk kampung ke lokasi penemuan sebelum membawa naik mayat menggunakan pengusung," menurut kenyataan itu.
JBPM memaklumkan pengecaman mayat telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa dan disahkan oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Long Na'ah.
Mayat kemudiannya dibawa oleh polis bersama keluarga mangsa ke rumah kediaman menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan tiba kira-kira jam 4.30 petang.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Isnin, empat individu dari Kampung Long Selatong dipercayai dalam perjalanan menaiki perahu ke Klinik Kesihatan Long San sebelum gagal pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi.
Penduduk kampung kemudian menemukan perahu yang dipercayai dinaiki mangsa dalam keadaan karam di Sungai Seperot.
Dua mangsa yang masih belum ditemukan ialah Jonathan Nyurang Lusut, 45, dan Ceria Dullah, 43. - Bernama