Sindiket judi dalam talian raih RM27 juta sehari tumpas

Iklan
M Kumar

SUBANG JAYA – Taktik sindiket perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik syarikat komputer terbongkar susulan penahanan 161 individu dalam serbuan Op Soga XI di 19 premis di Lembah Klang pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, seramai 106 lelaki dan 55 wanita termasuk enam warga asing berusia antara 19 hingga 62 tahun ditahan dalam serbuan itu.

Iklan
Iklan

"Turut ditahan ialah lima lelaki tempatan yang dipercayai merupakan pengarah serta pemegang saham syarikat terbabit.

"Kita turut merampas pelbagai perkakasan dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengendalikan serta mempromosikan aktiviti pertaruhan perjudian dalam talian, antaranya 182 unit komputer, 137 komputer riba dan 152 telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, pada Rabu.

Iklan

Kumar berkata, serbuan itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Kuala Lumpur, JSJ Selangor serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Siasatan awal mendapati sindiket itu membangunkan aplikasi sendiri sebelum mempromosikannya kepada pelanggan bagi membolehkan pertaruhan dibuat untuk perlawanan bola sepak dan pelbagai bentuk perjudian lain," katanya.

Iklan

Beliau berkata, walaupun aplikasi berkenaan digunakan oleh pelanggan dari dalam dan luar negara, keseluruhan operasi pertaruhan dikawal oleh sindiket yang berpangkalan di Malaysia.

"Sindiket itu mengendalikan nilai pusingan kredit pertaruhan yang dianggarkan mencecah RM27 juta sehari," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bahawa walaupun syarikat berkenaan didaftarkan di bawah nama berbeza, kesemuanya dipercayai berada di bawah satu sindiket yang sama.

"Kita juga percaya sindiket ini bukan hanya memfokuskan pertaruhan Piala Dunia, malah menawarkan pelbagai bentuk perjudian lain," katanya.

Kumar berkata, sebanyak 14 kertas siasatan dibuka membabitkan Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4C dan Seksyen 4E Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4G Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 120B Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Kumar berkata, sepanjang Op Soga yang dijalankan sejak 11 Jun hingga 20 Julai, polis melaksanakan 649 serbuan dan menahan 945 individu terdiri daripada 835 lelaki serta 110 wanita.

"Kita turut merampas wang tunai hampir RM200,000 selain mengesan nilai pertaruhan sebanyak RM35,148,815.88," katanya.

Kumar berkata, sepanjang tempoh operasi itu, polis bersama SKMM turut mengesan 637 laman sesawang yang mempromosikan kegiatan perjudian.

"Sebahagian laman sesawang itu telah disekat, manakala bakinya sedang melalui proses tindakan lanjut," katanya.