PBT giat kesan penempatan haram disewa warga asing, Rohingya

Iklan
Hilmi memaklumkan kerajaan negeri telah mengarahkan semua PBT dan agensi berkaitan untuk mengenal pasti penempatan haram di seluruh Kelantan.

KOTA BHARU - Kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan giat mengenal pasti penempatan haram yang dibina tanpa kelulusan dan disewakan kepada warga asing termasuk etnik Rohingya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, arahan itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi penguat kuasa berkaitan.

Iklan
Iklan

“Kami sudah mengarahkan semua PBT bersama PDRM, imigresen dan agensi berkaitan untuk mengenal pasti penempatan haram di seluruh Kelantan.

“Tindakan ini penting bagi mengelakkan kewujudan penempatan haram khususnya yang dibina tanpa kelulusan di atas tanah kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perasmian Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-21 Kolej Pakar Patologi, Akademi Perubatan Malaysia 2026 di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas operasi perobohan sebuah premis dan tiga rumah yang didiami etnik Rohingya di atas tanah milik kerajaan negeri di Pechong, Tanah Merah oleh sembilan agensi penguat kuasa pada Selasa.

Menurutnya, operasi perobohan itu sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan bersepadu yang memberi tumpuan terhadap binaan haram atas tanah kerajaan yang diberi sewa kepada penghuni Rohingya.

Iklan

“Rohingya ini tinggal secara berkelompok. Mereka dikesan menyewa di rumah yang didirikan oleh penduduk tempatan,” katanya.

Hilmi berkata, operasi merobohkan binaan haram akan diteruskan secara berkala dan diketuai oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Pejabat Tanah dan Jajahan mengikut kawasan.

“Pemilik tanggunglah kerugian premis atau rumah diroboh kerana dibina secara haram atas tanah kerajaan,” katanya.