JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor buat pertama kalinya melantik 10 Timbalan Exco bagi memperkukuhkan pentadbiran serta mempercepat pelaksanaan dasar, projek dan program ke arah merealisasikan agenda Maju Johor 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bagi meningkatkan kapasiti pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan pembangunan Johor yang semakin pesat.
"Pada masa sama, pelaksanaan Johor Plan Transformasi Ekonomi Johor (JTEP) akan menjadi antara fokus utama bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh, seimbang dan inklusif di setiap daerah dapat diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumumkan pelantikan Timbalan Exco Kerajaan Johor di Kota Iskandar pada Rabu.
Onn Hafiz berkata, setiap Timbalan Exco akan membantu Exco masing-masing dalam memantau pelaksanaan projek dan program, menyelaras tindakan di lapangan serta mempercepat penyelesaian isu-isu rakyat.
"Setiap Timbalan Exco perlu bekerjasama rapat dengan Exco, jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan secara efektif dan manfaatnya sampai ke peringkat akar umbi," katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang dilantik dan menyifatkan pelantikan itu sebagai amanah besar dalam memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.
Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik sebagai Timbalan Exco iaitu Zaidi Japar, Timbalan Exco
Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Nadhirah Afiqah Abdul Rahim, Timbalan Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi ; Anuar Abd. Manap, Timbalan Exco Hal Ehwal Agama Islam.
Mohd Youzaimi Yusof, Timbalan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ; Syed Hussein Syed Abdullah, Timbalan Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han.
Turut dilantik ialah Datuk Mohamad Najib Samuri, Timbalan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi; Chan San San, Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Sahrihan Jani, Timbalan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar ; Chua Jian Boon, Timbalan Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya dan V Rugendran, Timbalan Exco Pendidikan dan Penerangan.
PRN Johor pada 11 Julai menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Selepas Onn Hafiz mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor pada 12 Julai lalu, seramai 10 Exco mengangkat sumpah pada 18 Julai lalu.