Guna analogi 'anak, bapa, cucu' Shafie Apdal bangkit isu bajet Sabah

Iklan
Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyuarakan kebimbangan terhadap tambahan belanjawan yang dibentangkan dan diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, khususnya berkaitan pengurusan kewangan kerajaan negeri.

Beliau berkata, kebimbangan itu bukan hanya berkaitan peruntukan tambahan berkenaan, tetapi turut melibatkan isu terdahulu membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah Development Bank (SDB), Sabah International Petroleum (SIP) dan Sabah Maju Jaya Energy (SMJ Energy).

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun kerajaan menjelaskan langkah itu sebagai sebahagian daripada sistem perakaunan pintar (smart accounting system) dan tidak melibatkan pengeluaran keseluruhan peruntukan RM1.6 bilion, perkara berkaitan penggunaan wang awam perlu diberi perhatian serius.

"Saya bimbang tentang bajet yang telah dibentangkan dalam sidang Dewan ini. Ini bukan setakat perbahasan dan jawapan yang telah dilakukan, tetapi bagaimana pengurusan kewangan yang ada.

Iklan

"Kita tidak mahu berlaku lagi keadaan apabila kita menaikkan sukuk, menerbitkan bon, kemudian digunakan untuk menyelamatkan GLC yang berhadapan masalah kewangan," katanya dalam sidang akhbar ketika menghadiri persidangan DUN Sabah, pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu berkata, kebimbangannya turut berpunca daripada isu pengambilalihan SIP oleh SMJ Energy pada 2023 yang melibatkan pinjaman sukuk RM900 juta, dengan RM700 juta digunakan untuk bayaran kepada SDB.

Iklan

Beliau mempersoalkan tindakan memindahkan hak milik SIP kepada SMJ Energy sedangkan syarikat berkenaan sebelum itu merupakan anak syarikat milik penuh SDB, yang juga dimiliki kerajaan negeri.

Katanya, keadaan itu dilihat seperti satu bentuk penyelamatan (bailout) terhadap SDB berikutan masalah kewangan yang dihadapi bank milik kerajaan negeri itu.

"SIP anak kepada SDB, SDB anak kepada kerajaan negeri. Jadi SIP ini cucu kepada kerajaan negeri. Anak pinjam duit daripada bapa, SIP berhutang kepada SDB RM1.2 bilion. Lepas itu anak tidak boleh bayar kepada bapa, terpaksa bapa jual.

"Jual kepada siapa? Jual dalam negeri, dalam rumah juga iaitu kerajaan negeri melalui SMJ Energy. Tetapi untuk mendapatkan wang, terpaksa keluarkan sukuk RM900 juta.

"Dari segi sistem perakaunan mungkin nampak pintar, tetapi ini adalah dana awam dan pada pandangan saya ia adalah satu bentuk bailout," katanya.

Beliau turut membangkitkan isu pinjaman tidak berbayar (Non-Performing Loans atau NPL) SDB yang didakwa mencecah sekitar RM5 bilion, sambil meminta ketelusan berhubung hutang syarikat yang masih belum diselesaikan.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan wang negeri digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya terus menampung syarikat berkaitan kerajaan yang menghadapi masalah kewangan tanpa penelitian menyeluruh.

Shafie berkata, beliau tidak menolak keperluan memulihkan GLC bermasalah, namun tindakan penyiasatan dan penilaian perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan melibatkan dana awam dibuat.

Beliau turut berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah memperbaiki pengurusan kewangan bagi mengelakkan berlaku lagi situasi yang boleh memberi kesan kepada kedudukan kewangan Sabah.

Sebelum itu, persidangan DUN Sabah meluluskan tambahan belanjawan yang antara lain membabitkan peruntukan berkaitan kewangan negeri.