JHEAINS gantung sementara tauliah mengajar agama calon PRN, ahli politik

Iklan
Surat hebahan penggantungan sementara tauliah mengajar agama kepada ahli politik dan calon pilihan raya

SEREMBAN - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menggantung sementara tauliah mengajar agama kepada ahli politik atau calon pilihan raya sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu dimaklumkan Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah menerusi satu surat bertarikh 20 Julai kepada pengerusi jawatankuasa kariah masjid, surau solat Jumaat dan surau di negeri ini.

Iklan
Iklan

“Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan supaya semua aktiviti pengajaran dan penyampaian ceramah agama oleh pemegang Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan dalam kalangan ahli politik atau calon PRN Ke-16 digantung sementara sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya.

“Ia bagi menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu surat.

Iklan

Mohd Asri berkata, penggantungan ini berkuat kuasa mulai 18 Julai lalu sehingga satu notis pemberitahuan baharu dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kegagalan mematuhi arahan ini boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta syarat Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan,” katanya.

Iklan

Dalam lampiran surat tersebut, turut disertakan satu surat yang ditandatangani Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Faudzinaim Badaruddin yang turut memaklumkan perkara sama

"Penggantungan ini dibuat sebagai langkah menjaga kesucian insttusi agama, memelihara keharmonian masyarakat serta mengelakkan masjid, surau dan mana-mana premis pengajaran agama daripada dijadikan medium yang boleh menimbulkan persepsi keberpihakan kepada mana-mana parti atau calon yang bertanding.

"Bersama-sama dengan surat ini disertakan senarai nama ahli politik atau calon PRN Negeri Sembilan Ke-16 yang digantung sementara tauliahnya untuk makluman dan tindakan selanjutnya," katanya.

Antara nama yang tersenarai dalam surat berkenaan ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Nor Azman Mohamad (PH-Sikamat); Penyandang Serting, Mohd Fairuz Mohd Isa (PN), Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Ahmad Shahir Mohd Shah(PH-Paroi); Penyandang Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria(PN) dan Mohd Umry Abdul Khois(PH-Pertang).

Pemimpin politik yang tersenarai, Senator Jufitri Joha, Datuk Jaafar Muhammad dan Muhammad Aqil Irfan Razali

Sementara itu, sumber dalaman JHEAINS mengesahkan surat berkenaan.