KOTA MELAKA - Kerajaan Melaka mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko banjir susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berterusan sehingga 17 November ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penduduk khususnya yang tinggal di kawasan pesisir pantai dan lokasi dikenal pasti berisiko banjir diminta meningkatkan kewaspadaan serta mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh berkenaan.
“Saya minta semua pihak bersedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku sehingga 17 November ini,” katanya selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan DUN Kota Laksamana di sini pada Ahad.
Turut hadir, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan calon Barisan Nasional (BN) DUN Kota Laksamana, Melvin Chua.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri juga telah memperkukuh langkah kesiapsiagaan termasuk melaksanakan pemantauan banjir selama 24 jam membabitkan enam lembangan sungai utama di Melaka.
Menurutnya, pemantauan itu meliputi rekod data hujan dan paras air sungai secara berterusan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku peningkatan paras air.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 102 lokasi dikenal pasti sebagai hotspot banjir berdasarkan rekod kejadian berulang sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.
“Bagi memperkukuh sistem amaran awal, sebanyak 14 siren amaran banjir dan 10 kamera pemantauan dipasang di lokasi strategik seluruh negeri.
“Kesiapsiagaan aset kawalan banjir turut membabitkan 21 pintu kawalan air, 21 rumah pam dan 14 pam kecemasan mudah alih yang boleh digerakkan ke kawasan kritikal,” jelasnya.
Selain itu, katanya, pemantauan infrastruktur tebatan banjir membabitkan 105 kolam takungan banjir turut dilaksanakan, di samping penyelenggaraan kawasan lembangan sungai berisiko tinggi.
Beliau berkata, sebanyak 447 kerja kecil bernilai RM40.38 juta turut dilaksanakan sepanjang 2026 bagi memperkukuh usaha pengurangan risiko banjir.
“Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka akan terus menyalurkan hebahan dari semasa ke semasa bagi memastikan penduduk menerima amaran awal dan dapat mengambil tindakan sewajarnya ketika kecemasan.
“Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat terkini melalui laman rasmi kerajaan negeri Melaka,” katanya.