PETALING JAYA – Keberanian seorang wanita yang tanpa rasa gentar menangkap seekor ular besar yang bersembunyi di bawah sebuah kereta menjadi perhatian ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, Zarania_4, wanita berkenaan yang ketika itu masih memakai apron dilihat mengendalikan reptilia tersebut dengan tenang hanya menggunakan tangan, tanpa sebarang peralatan khas atau bantuan pihak lain.
Perkongsian itu turut disertakan dengan kapsyen berseloroh yang berbunyi,"Keliru sebenarnya bomba yang telefon akak atau akak yang telefon bomba."
Rakaman tersebut turut memaparkan beberapa anggota bomba berada di lokasi, namun mereka hanya memerhati ketika wanita terbabit berjaya mengeluarkan ular berkenaan dari bawah kenderaan.
Di ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial mengakui terhibur dan kagum dengan keberanian wanita itu yang dilihat begitu bersahaja mengendalikan situasi berkenaan.
Seorang pengguna, berseloroh bahawa ular tersebut mungkin lebih memerlukan bantuan.
"Rasanya ular itu yang telefon bomba minta diselamatkan daripada akak," tulisnya.
Seorang lagi pengguna, pula berpendapat wanita itu pasti sudah melalui pelbagai cabaran dalam hidup sehingga kehadiran ular bukan lagi sesuatu yang menakutkan.
"Akak itu mesti dah terlalu banyak benda yang dia hadap dalam hidup, sampai ular pun bukan lagi masalah terbesar dia," katanya.
Sementara itu, ada pengguna meluahkan rasa kagum terhadap keberanian wanita berkenaan yang disifatkannya luar biasa.
"Jarang nampak perempuan berani macam ini. Saya yang lelaki pun mungkin dah lari dulu kalau nampak ular sebesar itu bawah kereta," katanya.