SELEPAS Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan secara terbuka kedua-dua gabungan itu bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, suhu politik tanah air kembali hangat.
Pada asasnya keputusan tersebut bukanlah mengejutkan kerana tanda-tanda awal sudah dapat dilihat ketika PRN Johor yang baru melabuhkan tirainya lebih seminggu lalu.
Namun, pada ketika itu ‘kemesraan’ antara PN dan BN tidak terlalu menonjol sehinggalah tiba PRN Negeri Sembilan.
Kerjasama tersebut mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) memandangkan BN serta gabungan itu bekerjasama di peringkat persekutuan.
Akibat itu, berlakulah ‘cabar mencabar’ supaya menteri dan timbalan menteri mewakili BN meletakkan jawatan dalam Kabinet.
Desas-desus terbaharu itu mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk dakwaan kemungkinan akan berlaku jajaran baharu politik di peringkat persekutuan.
Meskipun perkara tersebut dinafikan segera pemimpin gabungan terlibat, namun ia belum cukup untuk menamatkan sepenuhnya mengenai dakwaan berkenaan.
Pastinya, perkembangan terbaharu ini mengundang persoalan mengenai kedudukan politik tanah air dan kedudukan kerajaan semasa.
Apa pun perancangan atau strategi politik, pemimpin haruslah meletakkan rakyat dan negara sebagai keutamaan bukan untuk mengejar kuasa semata-mata.
Cukup-cukuplah jadikan rakyat sebagai mangsa percaturan politik demi untuk memegang kuasa.
Jika benar inginkan kuasa, biarlah pilihan raya jadi medannya dan biarkan rakyat tentukan siapa yang dikehendaki memimpin negara selepas ini.