Masak lemak ketam sendiri, aksi Adam di dapur buat ramai terpukau

Iklan
Siti Nur Mazni meluangkan masa bersama anak lelakinya (kiri) dan aksi Adam memasak ketam masak lemak raih perhatian.

KEMAMAN - Baru berusia 10 tahun, namun Muhammad Adam Mohamad Azizan sudah mengerti penat lelah ibunya mencari rezeki apabila sanggup masuk ke dapur dan memasak sendiri ketam masak lemak tanpa bantuan.

Gelagat kanak-kanak dari Chukai, Kemaman itu menyediakan lauk kegemarannya ketika ibunya, Siti Nur Mazni Ismail, 30, sibuk bekerja mencuri perhatian ramai selepas video berkenaan tular sehingga meraih 11.3 juta tontonan di TikTok.

Iklan
Iklan

Lebih menyentuh hati, Muhammad Adam bukan sahaja boleh memasak, malah ringan tulang membantu ibunya dengan melakukan pelbagai kerja rumah tanpa disuruh.

Siti Nur Mazni berkata, pada hari kejadian, dia membeli ketam di pasar, namun terpaksa memaklumkan kepada anak tunggalnya itu bahawa hidangan tersebut mungkin hanya dapat dimasak lewat malam kerana perlu bekerja.

Iklan

“Apabila saya beritahu tidak sempat memasak kerana perlu bekerja malam itu, dia kata, ‘Tak apa, abang nak buat sendiri’.

“Saya tanya semula sama ada dia betul-betul mahu memasaknya dan dia kata boleh. Jadi, saya hanya pantau melalui kamera litar tertutup (CCTV),” katanya kepada Sinar Harian pada baru-baru ini.

Iklan

Menurutnya, dia hanya memberikan beberapa arahan kepada Muhammad Adam, namun keseluruhan proses memasak dilakukan sendiri oleh anaknya itu dari awal hingga selesai.

Katanya, ia merupakan kali pertama Muhammad Adam menyediakan lauk berkenaan sendirian tanpa bantuan secara langsung daripadanya.

“Sebelum ini dia pernah membantu saya memasak ketam kerana ia antara menu kegemarannya, tetapi kali ini dia buat sendiri dari awal sampai habis.

“Saya cuma pantau melalui CCTV dan beritahu apa yang perlu dilakukan,” ujarnya.

Siti Nur Mazni berkata, Muhammad Adam mula menunjukkan kecenderungan terhadap aktiviti memasak sejak darjah dua selepas sering melihat sepupunya menyediakan makanan.

Menurutnya, anaknya itu kemudian berulang kali meminta kebenaran untuk mencuba sendiri sehingga dia akhirnya mengambil keputusan mengajar Muhammad Adam secara perlahan-lahan.

“Pada mulanya saya tidak benarkan, tetapi dia selalu minta hendak memasak. Dari situ saya nampak dia memang berminat dan suka mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya mula ajar dia buat puding, masak telur dan lempeng. Sekarang dia sudah pandai memasak mi segera, nasi dan ketam masak lemak,” katanya.

Tambahnya, Muhammad Adam juga seorang yang cepat belajar dan biasanya hanya perlu diajar sekali sebelum mahu mencuba sendiri tanpa bantuan.

“Kalau dia hendak belajar resipi baharu, dia akan tanya saya. Selepas saya ajar sekali, dia mahu buat sendiri kerana dia mudah ingat.

“Cuma saya sentiasa pesan, selepas memasak dan menggunakan dapur, semuanya perlu dikemas semula,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Nur Mazni percaya pengalaman membesar bersamanya sebagai ibu tunggal menjadikan Muhammad Adam seorang kanak-kanak yang ringan tulang dan memahami kesukaran dirinya.

Wanita itu yang bercerai pada 2018 berkata, sejak kecil anak tunggalnya itu melihat sendiri susah senang kehidupannya mencari rezeki sebagai ejen jualan dan servis penapis air selain bekerja sambilan sebagai ejen jualan kereta.

“Mungkin sebab dari kecil dia tinggal dengan saya dan nampak susah senang saya, dia memang suka membantu.

“Kalau saya sibuk, dia akan tolong basuh baju dan buat kerja rumah. Kadang-kadang selepas balik sekolah, saya tengok dia berada dalam bilik air. Apabila ditanya, rupanya dia sedang mencuci tandas tanpa disuruh,” katanya.

Menurutnya, meskipun Muhammad Adam tetap menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain dan gemar bermain, anaknya itu tidak pernah keberatan membantu apabila diperlukan.

“Saya tidak pernah halang dia bermain, tetapi apabila melibatkan kerja rumah atau membantu saya, dia memang ringan tulang,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Nur Mazni, dia tidak menyangka video yang dimuat naik sekadar untuk suka-suka dan dijadikan kenangan itu mendapat perhatian luar biasa daripada pengguna media sosial.

“Saya memang selalu muat naik video mengenai Adam di TikTok sebagai kenangan. Memang tidak sangka video itu disukai ramai sehingga orang kagum melihat dia memasak,” katanya.