ISTANBUL - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump sedang membuat persiapan untuk mengenakan tarif baharu terhadap puluhan negara seawal minggu ini, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan The Financial Times pada Selasa.
Menurut laporan itu, pegawai AS telah merangka pelan bagi menggantikan tarif global 10 peratus yang bakal tamat tempoh dengan kadar tarif baharu, berkemungkinan antara 10 peratus hingga 12.5 peratus ke atas kira-kira 60 negara.
Berbanding bergantung pada kuasa kecemasan yang dibatalkan oleh Mahkamah Agung AS, pentadbiran Trump akan menggunakan siasatan ke atas amalan buruh paksa di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 untuk mewajarkan langkah tersebut. Siasatan tambahan kelak boleh menyokong kadar tarif yang lebih tinggi, menurut laporan itu.
Tindakan terbaharunya ini menyusuli keputusan Mahkamah Agung awal tahun ini yang membatalkan tarif timbal balas yang diperkenalkan Trump pada April 2025, sekali gus mencetuskan pergolakan dalam pasaran dunia.
Di sebalik tabir, pegawai kanan menggesa Trump agar mengekalkan kestabilan dengan rakan dagang dan mematuhi perjanjian perdagangan yang dicapai pada 2025.
Malah, mereka turut melonggarkan beberapa cadangan tarif terdahulu dengan mengecualikan barangan pengguna utama serta mengurangkan duti ke atas produk berkaitan keluli dan aluminium.
Usaha memperhebat dasar perdagangan itu dibuat ketika ketegangan dengan Iran semakin memuncak yang menyebabkan harga minyak di AS meningkat melebihi AS$4 (RM11.48) segelen serta menambah tekanan terhadap kos sara hidup isi rumah.
Tinjauan pendapat awal bulan ini mendapati lebih dua pertiga pengundi AS tidak berpuas hati dengan cara Trump mengendalikan isu kos sara hidup, selepas beliau berulang kali berjanji semasa kempen pilihan raya untuk menurunkan harga barangan.
Tarif yang dicadangkan itu akan menyasarkan negara-negara yang dikaitkan dengan amalan buruh paksa, manakala satu lagi siasatan berasingan mengenai lebihan kapasiti pembuatan melibatkan beberapa ekonomi termasuk Kesatuan Eropah (EU), China, India, Jepun, Mexico, Korea Selatan dan beberapa negara Asia Tenggara. - Bernama