Lelaki maut terkena renjatan elektrik ketika tanam tiang lampu solar

Iklan
Pasukan bomba hadir ke lokasi mangsa terkena renjatan elektrik di Jalan Kampung Malinja, Nabawan, Keningau.

KENINGAU - Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja menanam tiang lampu solar di Jalan Kampung Malinja, Nabawan, dekat sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, David Poli Karpus, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, sepasukan anggota dari Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Nabawan dikejar ke lokasi sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Hasil siasatan awal di lokasi mendapati lelaki tersebut dalam keadaan terbaring, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik semasa mengendalikan kerja-kerja menanam tiang lampu solar.

Iklan

"Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa memegang tiang lampu solar dan bahagian hujung tiang lampu solar tersentuh kabel elektrik utama berhampiran tepi jalan raya Kampung Malinja, lalu menyebabkan alir arus elektrik (renjatan) terkena terus pada badan mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya lagi, pasukan perubatan Klinik Kesihatan Nabawan yang hadir di lokasi segera melakukan pemeriksaan terhadap mangsa.

Iklan

"Pasukan tersebut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Keningau bagi tujuan pemeriksaan lanjut dan bedah siasat.

"Pengecaman mayat dibuat oleh bapa mangsa dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.