TAWAU - Seorang lelaki didakwa melakukan ugutan emosi terhadap anak sulungnya dengan mengungkit pengorbanan menanggung perbelanjaan keluarga dan pendidikan mangsa sebelum memaksanya menempah bilik hotel untuk dirogol.
Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di Mahkamah Sesyen Tawau, mangsa yang kini berusia 25 tahun gagal menolak kehendak bapanya kerana sering dipengaruhi secara emosi dengan alasan tertuduh tersebut.
Siasatan turut mendapati tertuduh akan mendapatkan jadual kerja mangsa bagi mengetahui hari mangsa tidak bekerja sebelum mengarahkannya menempah bilik hotel.
Tertuduh kemudian datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Perbuatan terancang itu akhirnya membawa padah apabila lelaki berusia 53 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 105 tahun dan 70 sebatan selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak sulungnya.
Hukuman dijatuhkan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya sebaik tertuduh mengaku salah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang kini berusia 25 tahun di beberapa hotel di daerah ini antara Disember 2025 hingga Mac 2026.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, tertuduh memaklumkan dia berasa malu dan takut menerima hukuman yang bakal dijatuhkan selain memohon hukuman diringankan supaya diberi peluang memohon maaf kepada ahli keluarganya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman maksimum dikenakan dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan terhadap anak kandung sendiri serta sifat jenayah yang dirancang.
Pendakwaan berhujah tindakan tertuduh mendapatkan jadual kerja mangsa dan mengarahkannya menempah bilik hotel sebelum datang dari Lahad Datu ke Tawau untuk melakukan perbuatan itu jelas menunjukkan jenayah tersebut dilakukan secara terancang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Md Yatin bersama Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, pada 8 April lalu, Mahkamah Sesyen Lahad Datu turut menjatuhkan hukuman penjara 165 tahun dan 110 sebatan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya.
Dalam kes berkenaan, tertuduh didakwa merogol kedua-dua anak perempuannya yang kini berusia 25 dan 22 tahun di beberapa lokasi di Lahad Datu antara 2016 hingga 2026.