Sabah tidak setuju kuota diesel 200 liter, tubuh jawatankuasa khas - Masidi

Iklan
Masidi (kiri) ketika menghadiri sidang DUN Sabah.

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menegaskan pendiriannya tidak bersetuju dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dengan menghadkan kuota sebabyak 200 liter yang ditetapkan kerajaan Persekutuan, susulan pelbagai isu yang dihadapi rakyat di negeri ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pendirian itu menjadi asas kepada penubuhan satu jawatankuasa khas (task force) bagi meneliti pelaksanaan skim berkenaan sebelum mengemukakan cadangan penambahbaikan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tham Yun Fook (Warisan-Likas) yang ingin mengetahui pendirian rasmi kerajaan Sabah sama ada bersetuju atau tidak dengan dasar subsidi diesel kuota 200 liter yang dilaksanakan ketika ini.

Masidi berkata, kerajaan negeri berpandangan sistem subsidi diesel sedia ada masih memerlukan banyak penambahbaikan bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan rakyat Sabah.

Iklan

"Kerana itulah kita tubuh task force atau jawatankuasa ini, kerana kita tidak bersetuju. Saya fikir banyak perlu penambahbaikan sistem subsidi ini.

"Sebenarnya, secara proaktif telah pun memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada Ahad lalu untuk memulakan perbincangan mengenai bagaimana kita mengatasi masalah ini," katanya semasa sesi penggulungan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri telah memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa semua cadangan penambahbaikan akan diperincikan oleh jawatankuasa khas berkenaan sebelum diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Persekutuan.

"Apabila jawatankuasa ini memperkemas dan menyediakan semua cadangan balas kita, penambahbaikan, kita akan serahkan secara rasmi kepada kerajaan Pusat.

"Jadi secara ringkasnya, kenapa kita bentuk jawatankuasa khas ini ialah kerana kita kurang berpuas hati dengan skim yang ada sekarang. Itulah pendirian kita," katanya.

Bagaimanapun, Yun Fook berkata kerajaan negeri perlu menetapkan tempoh masa yang jelas bagi usaha memperjuangkan penambahbaikan skim subsidi diesel supaya rakyat mengetahui bila perubahan itu akan dilaksanakan.

Beliau berkata, situasi itu tidak seharusnya berulang seperti tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang sehingga kini masih belum mempunyai garis masa jelas daripada Kerajaan Persekutuan.

"Kita setuju itu usaha baik yang dilakukan. Tetapi mesti ada 'time frame'. Yang 40 peratus hasil negeri pun sampai sekarang kita tidak tahu bila akan dikembalikan kepada Sabah.

"Yang ini juga sepatutnya ada 'time frame', bilakah subsidi diesel yang diperjuangkan kerajaan ini akan diubah. Kalau masih tunggu-tunggu, rakyat di bawah sana juga terus menunggu," katanya.

Sebelum itu, Masidi berkata kerajaan negeri memahami isu asas yang sering dibangkitkan rakyat termasuk berkaitan bekalan air, jalan raya dan subsidi diesel, sambil menegaskan kerajaan sentiasa berusaha memperbaiki prestasi serta mencari penyelesaian terhadap masalah berkenaan.