SEREMBAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan manifesto parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijangka diumumkan minggu ini adalah lebih baik berbanding yang telah pun diumumkan parti lain.
Beliau bagaimanapun enggan berkongsi secara terperinci kandungan manifesto berkenaan, namun memberi bayangan antara intipatinya ialah penyediaan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan di Negeri Sembilan.
Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan di sini pada Selasa.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, sasaran menyediakan peluang pekerjaan berkenaan diyakini mampu direalisasikan berikutan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin meningkat ke negeri ini, khususnya menerusi pembangunan kawasan perindustrian baharu.
"Saya yakin ia boleh dilaksanakan kerana kawasan industri baharu, terutamanya pelaburan langsung asing (FDI), banyak masuk di Negeri Sembilan.
"Saya sendiri telah mengusahakannya, umpamanya untuk industri halal iaitu kira-kira 2,000 ekar yang telah dibayar deposit untuk dibangunkan. Saya berhasrat menjadikan negeri ini sebagai salah sebuah hab pengeluaran produk-produk halal," katanya.
Ujar beliau lagi, pelabur dari luar negara turut dibawa masuk bagi mengeluarkan produk halal bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah bagi memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.
"Pasaran domestik kita agak kecil, tetapi pasaran di luar negara besar. Saya telah mengadakan perbincangan dengan pihak pelabur luar dan pihak pembeli produk-produk kita, terutama dari segi vaksin, perubatan serta bahan ramuan untuk perubatan dan kosmetik.
"Pelabur-pelabur itu telah ada dan sekarang ini kerja-kerja tanah akan dimulakan tetapi sebab tersangkut kerana ada 'tokoh-tokoh' yang menguruskan perkara itu sibuk sedikit sekarang ini, jadi agak lewat," katanya.
Ahmad Zahid berkata, sekiranya BN dapat membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, parti itu berhasrat menjadikan negeri berkenaan sebagai kawasan perindustrian baharu dengan menarik lebih banyak pelaburan asing bagi meningkatkan hasil negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.
Beliau berkata, ia mampu dilaksanakan kerana Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah daripada BN, sekali gus membolehkan pelabur baharu ditempatkan di Negeri Sembilan yang mempunyai banyak kawasan perindustrian berpotensi untuk dibangunkan.
"Apabila Belanjawan 2027 dibentangkan pada Oktober nanti yang mengambil kira perbelanjaan pembangunan di mana di banyak kementerian yang menerima peruntukan pembangunan terbesar ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Ini mungkin boleh membantu Negeri Sembilan dan juga negeri-negeri lain. Bukan kita mahu menganaktirikan negeri lain, tetapi ini boleh dirancangkan untuk diberikan di Negeri Sembilan,"katanya.
Tambahnya, KKDW juga mempunyai pelbagai program bagi melahirkan lebih ramai usahawan menerusi agensi di bawah kementerian itu seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kemas.
Katanya, perancangan tersebut akan lebih mudah dilaksanakan sekiranya Negeri Sembilan ditadbir oleh kerajaan baharu.
"Ini bukan sekadar janji pilihan raya, tetapi memang perancangan yang telah ada dan saya harap Negeri Sembilan sekurang-kurangnya purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sama dengan KDNK kebangsaan, malah lebih baik jika mampu," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan masih belum berpuas hati dengan gerak kerja jentera parti memasuki hari keempat berkempen.
Ini kerana katanya, BN sentiasa menganggap parti dan calon-calon yang dipertaruhkan sebagai 'underdog'', justeru semua jentera perlu terus memperkukuhkan usaha.
" Seramai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita sering menganggap sebagai 'underdog'. Namun peluang kerinduan itu harus dibalas.
"Jadi pembalasan itu akan kita berikan, bukan sewaktu kempen tetapi selepas kerajaan baharu di Negeri Sembilan terbentuk,"katanya.