Nenek lima cucu dalami TikTok kembang bisnes jahitan

Iklan
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada teknik penghasilan kandungan kreatif merangkumi fotografi, videografi, reka bentuk grafik serta strategi pemasaran digital yang berkesan. Gambar kecil: Ummi Kalsom dan Mohamad Amirul

IPOH - Pada usia 62 tahun, Ummi Kalsom Romli enggan sekadar menjadi pemerhati dalam dunia digital, sebaliknya mempelajari kemahiran media sosial bagi mengembangkan perniagaan jahitannya.

Lebih menarik, nenek kepada lima cucu itu kini mula memberi tumpuan kepada platform seperti TikTok sebagai medium baharu untuk memasarkan produk, seiring perubahan landskap perniagaan.

Iklan
Iklan

Penyertaannya dalam Kursus Digital Kreatif: Pemantapan Usahawan Bagi Media Sosial anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) membuka ruang untuk memahami teknik pemasaran yang lebih efektif.

Menurut Ummi Kalsom, kursus tersebut memberi pendedahan baharu terutama dalam aspek penghasilan kandungan, teknik fotografi serta penggunaan fungsi aplikasi yang sebelum ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Iklan

Beliau berkata, sebagai individu yang telah lebih tiga dekad dalam bidang jahitan serta mengendalikan pusat latihan sendiri di Chemor, kemahiran digital amat penting bagi memperluaskan pasaran.

“Sebelum ini saya belum pernah guna TikTok untuk perniagaan, tapi selepas ini saya lebih yakin untuk cuba dan kembangkan lagi apa yang ada,” katanya.

Iklan

Ismail (kanan) bersama peserta Kursus Digital Kreatif: Pemantapan Usahawan Bagi Media Sosial anjuran KBGK.

Peserta lain, Mohamad Amirul Hamdan, 35, yang menjalankan perkhidmatan sistem audio dan pengacaraan melihat kursus berkenaan sebagai peluang memperkemas strategi promosi sedia ada.

Katanya, penggunaan media sosial sebelum ini lebih tertumpu kepada perkongsian asas, namun melalui program tersebut beliau didedahkan kepada teknik yang lebih tersusun.

“Sekarang saya lebih jelas tentang platform yang sesuai dan bagaimana nak tarik perhatian orang ramai supaya mereka lebih kenal perkhidmatan yang saya tawarkan,” ujarnya.

Menurut beliau, pendekatan pemasaran yang lebih strategik mampu membantu meningkatkan capaian serta memberi nilai tambah kepada perkhidmatan yang disediakan.

Program sehari itu menghimpunkan 30 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan kecil dan individu yang ingin meningkatkan kemahiran digital masing-masing.

Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada teknik penghasilan kandungan kreatif merangkumi fotografi, videografi, reka bentuk grafik serta strategi pemasaran digital yang berkesan.

Sementara itu, Presiden KBGK, Ismail Mohamed Yusoff berkata, seiring aspirasi kerajaan negeri yang menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Kemahiran adalah aset paling bernilai pada masa kini. Mereka yang mempunyai ilmu, kemahiran dan kesediaan untuk berubah akan menjadi peneraju dalam ekonomi masa hadapan," katanya.

Tambahnya, KBGK komited untuk terus menganjurkan program seumpama itu bagi membantu masyarakat meningkatkan kompetensi diri khususnya dalam bidang digital dan keusahawanan.