Kedai vape didenda RM7,000 jual cecair tanpa label amaran kesihatan

Iklan
Sebuah premis menjual vape didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di Kemaman pada Selasa. Foto hiasan

​KEMAMAN – Sebuah premis menjual vape didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah menjual cecair vape yang tidak mempunyai label amaran kesihatan mengikut spesifikasi ditetapkan.

​Hukuman itu dijatuhkan Majistret Marsha Abdul Malik terhadap premis Asaifa Kemaman Trading yang diwakili pemiliknya selaku Orang Kena Saman (OKS).

Iklan
Iklan

​Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

​Mengikut pertuduhan, premis berkenaan didakwa menawarkan produk bahan merokok iaitu cecair vape jenama Revolt pelbagai perisa dalam paket yang tidak dicetak set teks dan imej amaran kesihatan sebagaimana ditetapkan.

Iklan

​Perbuatan itu dilakukan di premis berkenaan yang terletak di Jalan Air Putih, Chukai di sini, kira-kira jam 9.05 malam pada 21 Januari lalu.

​Bagi kesalahan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dibaca bersama Peraturan 9(3) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2004.

Iklan

​Jika sabit kesalahan, OKS boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM20,000 atau dipenjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali.

​Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Azman Mohd Ramli dan Ahmad Nazmi Mat Yusoff, manakala OKS tidak diwakili peguam.