Keputusan rayuan pembebasan Papagomo pada 31 Julai

Iklan
Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 31 Julai untuk keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo daripada pertuduhan menghasut, tiga tahun lepas.

Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Wan Muhammad Azri.

Iklan
Iklan

Terdahulu, Mohamad Mustaffa berhujah bahawa pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri selaku responden adalah tidak cacat walaupun saksi pendakwaan pertama, Hisham Sharudin, yang juga pengadu dalam kes itu menarik balik laporan polis terhadapnya.

"Mahkamah ini tidak boleh mengetepikan kuasa Peguam Negara yang termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah yang memutuskan untuk meneruskan pendakwaan ke atas responden," katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Deepa Nair Thevaharan.

Iklan

Selain itu, Mohamad Mustaffa berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa Wan Muhammad Azri menyebut kata-kata menghasut melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan.

Sementara itu, Muhammad Rafique berkata, pihak perayu (pendakwaan) gagal membuktikan elemen bahawa kenyataan anak guamnya bersifat hasutan mengikut undang-undang.

Iklan

"Mahkamah Sesyen telah membuat keputusan yang betul berdasarkan keterangan saksi serta peruntukan undang-undang semasa yang tidak mewajarkan suatu campur tangan dari mahkamah," katanya.

Pada 3 September tahun lepas, Hakim Siti Aminah Ghazali melepaskan dan membebaskan Wan Muhammad Azri daripada pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau pada prosiding akhir kes pendakwaan.

Pada 8 Januari 2024, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan, pro kepada Israel dan Barat di laman Facebook.

Wan Muhammad Azri didakwa menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari, 8 November 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Bernama