SHAH ALAM - Seorang suspek ditahan selepas menceroboh landasan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam di Stesen Jalan Meru, Klang, pagi tadi hingga menyebabkan perkhidmatan tren tergendala kira-kira 30 minit.
Rapid KL dalam kenyataan berkata, sejurus insiden dikesan, petugas operasi bersama anggota polis bantuan telah bertindak pantas mengesan serta menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk tindakan lanjut.
"Bagi memastikan keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan sentiasa terpelihara, perkhidmatan tren dihentikan sementara di antara Stesen Jalan Meru ke Stesen Jambatan Kota selama 30 minit bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan serta memastikan keadaan landasan selamat sebelum perkhidmatan beroperasi semula,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Rapid KL turut memaklumkan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Rapid KL turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang susulan gangguan sementara tersebut sambil menegaskan bahawa keselamatan penumpang dan kelancaran operasi sentiasa menjadi keutamaan.
"Rapid KL turut menasihatkan orang ramai agar tidak menceroboh kawasan landasan kerana tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah boleh mengundang risiko keselamatan yang serius.
"Selain itu, penumpang disaran supaya sentiasa peka terhadap persekitaran dan segera memaklumkan kepada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan sekiranya mengesan sebarang perlakuan yang mencurigakan,” menurut kenyataan itu. - Bernama