KOTA BHARU –"Saya mohon maaf... beremosi sedikit."
Itu luahan penuh sebak Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat yang terpaksa berhenti seketika ketika menyampaikan amanat kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan semasa perhimpunan bulanan di sini pada Selasa apabila menyentuh kes seorang anggota polis yang didakwa di mahkamah kerana dipercayai terlibat dalam pelupusan bahan bukti.
Suasana perhimpunan bertukar hening apabila beliau dilihat menahan sebak sebelum meneruskan ucapan dengan mengingatkan seluruh pegawai dan anggota supaya tidak sesekali menggadaikan amanah serta maruah pasukan demi kepentingan diri.
Menurutnya, kejadian yang berlaku baru-baru ini amat mendukacitakan dan perlu dijadikan iktibar oleh seluruh warga PDRM.
"Oleh itu, jangan sesekali menggadaikan amanah demi kepentingan diri. Jagalah nama baik pasukan kerana maruah PDRM terletak pada integriti setiap pegawai dan anggota," katanya.
Ujar beliau, insiden membabitkan anggota polis itu bukan sahaja mencalar imej pasukan, malah menjadi peringatan bahawa setiap anggota perlu sentiasa memelihara integriti dalam melaksanakan tugas.
Sehubungan itu, Mohd Yusoff turut menggesa semua Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah, Ketua Bahagian dan penyelia memperkukuhkan pemantauan terhadap pegawai serta anggota di bawah seliaan masing-masing.
Katanya, penyelia bukan sekadar bertanggungjawab terhadap prestasi kerja, sebaliknya memainkan peranan penting membentuk nilai, membimbing serta memastikan setiap anggota sentiasa mematuhi undang-undang, prosedur dan etika kerja yang ditetapkan.
Mengakhiri amanatnya, beliau mengajak seluruh warga PDRM membuat pilihan untuk terus mempertahankan maruah pasukan dan bukannya mencemarkannya.
"Setiap hari kita memakai uniform yang sama, tetapi setiap hari juga kita diberi pilihan sama ada untuk mempertahankan maruah pasukan atau mencemarkannya.
"Marilah kita terus berganding bahu, memperkukuhkan semangat kebersamaan dan melaksanakan setiap amanah dengan sebaik-baiknya. Jagalah bumi Kelantan ini dengan penuh rasa tanggungjawab kerana keamanan yang kita pelihara hari ini adalah warisan yang akan dinikmati oleh generasi akan datang," katanya.
Beliau turut mendoakan agar setiap usaha dan khidmat bakti seluruh warga PDRM sentiasa dipelihara serta diberkati oleh ALLAH SWT.