'Selepas Johor, parti Rafizi akan dimalukan lagi di Melaka' - Penganalisis

Iklan
Mohamad Faisol (gambar kecil) berpandangan, parti Bersama dilihat akan kekal gagal mendapat sokongan rakyat.

KUALA LUMPUR - Selepas kalah di kesemua 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ditandinginya dengan hilang deposit, parti Bersama pimpinan Datuk Seri Rafizi Ramli dijangka terus menerima nasib sama dengan 'dimalukan' buat kali kedua dalam PRN Melaka tidak lama lagi.

Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohamad Faisol Keling berkata, ini kerana tahap penolakan yang tinggi oleh orang Melayu terhadap prestasi Rafizi sebagai menteri sebelum ini serta peningkatan semula oleh pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan (PH) selepas Pas menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Iklan
Iklan

Katanya, jenama parti Bersama tidak mampu menarik sokongan dan sambutan masyarakat, maka persoalan sejauh mana ia mampu kekal dan mendapat sokongan rakyat adalah berdasarkan kemampuan melaksanakan prinsip, kejayaan dan ketelusan yang dibawa oleh sesebuah parti.

"Berdasarkan sokongan dan sambutan masyarakat, saya melihat kenyataan dan janji manis yang pernah ditabur ketika dalam PH telah menjadikan ia sebagai pengajaran kepada rakyat agar tidak lagi ditipu dan dimanipulasikan dengan pelbagai formula yang akhirnya hanya menjadi alat meraih undi berbanding perlaksanaan yang sebenar.

Iklan

Pemimpin DAP, Tony Pua turut meminta pengundi terus menyokong PH pada PRU16, sambil mendakwa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, akan menjadi perdana menteri jika sebaliknya berlaku.

Bekas Ahli Parlimen Damansara itu, berkata tindakan mengundi parti ‘pengacau’ atau langsung tidak keluar mengundi pada PRU16 akan memberikan kelebihan kepada BN.

Iklan

Label ‘parti pengacau’ dilontarkannya dipercayai merujuk Parti Bersama yang telah memecahkan undi PH sehingga menjurus kekalahan gabungan itu di dua kerusi pada PRN Johor, hujung minggu lalu.

Dalam pada itu, Mohamad Faisol berkata, tindakan menabur pelbagai janji dan formula sebelum 2018 dan ketika menjadi menteri telah menjadi ukuran kepada masyarakat untuk menilai kemampuan dan tindakan yang sebenar.

Justeru katanya, parti Bersama dilihat akan kekal gagal mendapat sokongan rakyat dan hanya syok sendiri serta menjadi 'nasi tambah' dalam jumlah parti yang bertanding dalam pilihan raya.