SEREMBAN – Memasuki hari kedua berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Nor Azman Mohamad mengakui masih ramai pengundi di kawasan itu mengharapkan Datuk Seri Aminuddin Harun terus kekal sebagai wakil rakyat mereka.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, bagaimanapun pengundi memahami keputusan Menteri Besar berkenaan untuk berpindah bertanding di DUN Linggi dan menghargai segala khidmat yang telah diberikan selama ini.
"Setakat hari pertama selepas diumumkan sebagai calon menggantikan Datuk Seri Aminnudin di Sikamat, saya sudah mendapat maklum balas positif.
"Lagipun saya sering menggantikan beliau untuk urusan di sekitar DUN Sikamat, jadi pencalonan saya bukanlah sayu kejutan.
"Cumanya masih ramai yang mengharapkan supaya Datuk Seri Aminuddin kekal di sini," katanya ditemui berkempen di sekitar DUN Sikamat.
Nor Azman berkata, hubungan rapat Aminuddin dengan penduduk sejak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat pada 2008 menjadi antara faktor utama beliau begitu disenangi masyarakat.
Ujarnya, selama dua penggal Aminuddin menjadi wakil rakyat pembangkang di kawasan itu sebelum diangkat menjadi Menteri Besar, beliau berusaha memberikan perkhidmatan sebaik mungkin.
"Jadi ia menjadi cabaran kepada saya untuk meneruskan cara beliau berbakti kepada masyarakat dan mengekalkan hubungan rapat yang dibina bersama penduduk.
"Saya cuma boleh berjanji, insya-ALLAH apa yang telah dibuat oleh Tok Min akan saya teruskan sekiranya diberi mandat," katanya.
Mengulas pembangunan di Sikamat, Nor Azman berkata, kemudahan asas di kawasan itu secara keseluruhannya berada pada tahap yang baik hasil usaha Aminuddin sepanjang menjadi wakil rakyat.
Menurutnya, kebanyakan taman perumahan di DUN itu telah berusia lebih 20 tahun, justeru isu penyelenggaraan tidak dapat dielakkan, namun ia berjaya ditangani dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.
"Dari sudut kemudahan sedia ada, ia agak baik untuk masyarakat di DUN Sikamat. Memang ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik, terutama melibatkan penyelenggaraan infrastruktur di kawasan perumahan lama, tetapi ia dapat ditangani dengan baik hasil kerjasama pihak berkuasa tempatan," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyifatkan pengalaman Aminuddin sebagai wakil rakyat pembangkang selama dua penggal menjadi asas kepada pelbagai inisiatif kebajikan yang diperkenalkan selepas PH membentuk kerajaan negeri.
Katanya, antara inisiatif tersebut termasuk bantuan kepada pelajar melanjutkan pengajian ke universiti, tabung usahawan serta pembinaan Rumah Harapan Rakyat dan rumah mampu milik.
Ditanya mengenai cabaran berdepan calon lawan yang berpengaruh, Nor Azman berkata, beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri tanpa memandang rendah kemampuan lawannya.
"Saya perlu berdiri dengan kekuatan sendiri dan saya tidak nafikan setiap pertandingan ada cabarannya.
"Tapi saya penduduk di Sikamat dan dikenali masyarakat di sini. Harap-harap itu menjadi kelebihan kepada saya. Namun saya tidak memandang rendah pihak lawan kerana saya tahu beliau mempunyai latar belakang yang hebat," katanya.
PRN DUN Sikamat menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Nor Azman, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah (PN- Wawasan).