KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya siasatan mendapati wujud unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, walaupun laporan awal menunjukkan tidak wujud unsur sedemikian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau telah menemui pengurusan KWAP dan menyatakan perlunya kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan.
"Saya ingin tekankan bahawa kita tidak boleh bertolak ansur sekiranya ada penyelewengan atau rasuah.
"Oleh sebab itu, walaupun kita berpendapat sedemikian, SPRM harus juga melihat proses pelaburan dan keputusan dibuat oleh panel pelaburan yang akhirnya dipersetujui oleh lembaga,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.
Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
Anwar turut menjawab soalan tambahan Senator Wan Martina Wan Yusoff yang ingin mengetahui sama ada kerajaan telah, sedang atau akan melaksanakan transformasi bagi menentukan syarikat yang menjadi destinasi pelaburan pada masa depan serta jaminan kerajaan bahawa wang rakyat akan terus terjamin dalam setiap pelaburan.- Bernama