KUALA LUMPUR - Senator, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilantik semula sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua.
Pencalonan tunggal bagi jawatan itu dikemukakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Terdahulu, Nur Jazlan dan Mussodak Ahmad dilantik semula sebagai Senator bagi penggal kedua serta mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah pada Isnin.
Pelantikan semula Nur Jazlan pula merupakan lantikan semula oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh berkuat kuasa mulai 15 Jun 2026 hingga 14 Jun 2029 manakala Mussodak merupakan perkenan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang berkuat kuasa bagi tempoh tiga tahun, bermula 20 Mac 2026 hingga 19 Mac 2029.
Nur Jazlan, 60, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pulai, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara sejak Jun 2023.
Beliau juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dari tahun 2015 hingga 2018 serta menjadi Ahli Parlimen Pulai bagi tempoh 2004 hingga 2018.
Sementara itu, Musoddak merupakan Setiausaha PAS Negeri Kedah dan pernah bertanding di kerusi DUN Bayu serta DUN Guar Chempedak.
Beliau mula dilantik sebagai Senator mewakili DUN Kedah bagi penggal pertama pada Mac 2023.
Menurut takwim Parlimen, persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 10 hari bermula 20 Julai sehingga 4 Ogos.- Bernama