Ram Singh lapor polis insiden pelajar terjatuh di sekolah sama Zara Qairina, desak siasatan

Iklan
Ram (kiri) ditemani pasukan peguamnya melakukan laporan polis di Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Peguam Datuk Ram Singh membuat laporan polis berhubung kejadian seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua yang dipercayai terjatuh di sebuah sekolah di Daerah Papar, di sini baru-baru ini.

Dalam laporan itu, beliau memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara telus, bebas dan menyeluruh bagi menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian, kelemahan langkah keselamatan, pengabaian tanggungjawab atau faktor lain yang mungkin menyebabkan atau menyumbang kepada kejadian berkenaan.

Iklan
Iklan

Ram berkata, beliau membuat laporan itu selepas membaca laporan media mengenai kejadian berkenaan serta merujuk kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah yang memaklumkan pelajar terbabit berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital.

"Saya turut menerima maklumat daripada sumber lain bahawa mangsa mengalami kecederaan, termasuk patah kaki, dan telah meninggalkan nota bunuh diri.

Iklan

"Sehubungan itu, saya memohon agar pihak polis dan JPN Sabah menyiasat perkara tersebut dengan sewajarnya,” katanya dalam laporan itu.

Laporan polis tersebut dibuat di Balai Polis Luyang, di sini pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira setahun selepas kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang turut didakwa berlaku di sekolah sama dan kini menjadi subjek inkues yang masih berjalan.

Ram berkata, kejadian terbaharu itu menimbulkan kebimbangan awam serta persoalan berhubung tahap keselamatan, pemantauan terhadap pelajar, pengurusan sekolah dan kemudahan fizikal di sekolah berkenaan.

"Pada permulaan inkues, banyak persoalan telah dibangkitkan berhubung langkah-langkah keselamatan di sekolah yang sama, termasuk aspek langkah berjaga-jaga, pagar serta taklimat atau peringatan berkaitan keselamatan.

"Namun, satu lagi kejadian pelajar terjatuh berlaku. Perkara ini amat mengecewakan dan menimbulkan persoalan bahawa ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Sehubungan itu, Ram memohon PDRM mendapatkan semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berkaitan, merakam percakapan saksi, meneliti prosedur keselamatan sekolah serta menilai tahap pemantauan terhadap pelajar.

Beliau turut memohon tindakan undang-undang sewajarnya diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kecuaian atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang yang terpakai.

Sementara itu, Ram memaklumkan bahawa beliau telah diambil kenyataan semasa laporan polis itu dibuat.