'Pusingan U jauh di Pan Borneo bukan suka-suka' -Alexander

Iklan
Alexander (dua dari kiri) semasa menyaksikan program kolaborasi antara KKR, JKR Sabah, JKR Sarawak di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pusingan U yang jauh di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah bukan dibina secara sewenang-wenangnya, sebaliknya mengambil kira aspek geometri jalan, keselamatan dan jarak bagi menjamin keselesaan pengguna.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setiap pembinaan pusingan U atau P-turn perlu melalui proses kajian dan penelitian sebelum ditentukan lokasinya.

Iklan
Iklan

"U-turn atau P-turn ini, sebenarnya bukan sesuka kita buat ataupun kita letak di mana. Ini semua sudah melalui proses untuk dibuat kajian.

"Kita buat mengikut geometri jalan itu, mengikut keselamatannya, jaraknya dan sebagainya. Ia bukan sewenang-wenang kita buat, suka-suka kita buat. Sebab kita nak menjaminkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program kolaborasi antara Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, JKR Sabah dan JKR Sarawak, di sini pada Ahad.

Bercakap mengenai program tersebut, Alexander berkata, kolaborasi itu penting bagi memperkukuh kerjasama antara agensi pelaksana utama dalam membincangkan isu serta mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan projek.

Iklan

"Kolaborasi ini penting untuk kita agensi-agensi pelaksanaan utama seperti JKR Malaysia, JKR Sarawak, JKR Sabah bersama dengan KKR juga supaya duduk, berunding, berbincang, semua perkara," katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh koordinasi antara agensi amat penting memandangkan pelbagai projek berskala besar, termasuk LPB di Sabah dan Sarawak, sedang dilaksanakan.

Menurutnya, kekangan dalam koordinasi sebelum ini tidak boleh dinafikan menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan sesetengah projek.

"Kita sudah nampak sejak kolaborasi pertama tahun lepas sudah ada penambahbaikan. Tetapi kita tak berpuas hati di situ sahaja. Sebab itu siri ini kita perhebatkan lagi dan membincangkan di mana kita boleh buat penambahbaikan. Inilah tujuan kita ada program ini," katanya.

Program kolaborasi berkenaan merupakan siri kedua selepas edisi pertama diadakan di Kuching, Sarawak pada 2025, manakala siri seterusnya dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan.

Alexander berkata, kerjasama berterusan itu diharap dapat membantu agensi terbabit menangani masalah dengan lebih berkesan, sekali gus memastikan projek infrastruktur dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.