JPN Perlis jamin kebajikan mangsa buli, pelaku bakal dikenakan tindakan tegas

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai tiga pelajar lelaki Tingkatan Satu ditahan bagi membantu siasatan kes seorang rakan sekolah yang mengalami keretakan buku lali kiri selepas dipercayai menjadi mangsa buli.

KANGAR - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis memberi jaminan kebajikan murid yang menjadi mangsa dalam kes disyaki buli di sebuah sekolah menengah di negeri ini akan diberi perhatian sepenuhnya.

JPN Perlis dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil serius insiden yang didakwa melibatkan salah laku murid sehingga mengakibatkan kecederaan dan memberi kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang menjalankan siasatan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli yang berlaku dalam institusi pendidikan di bawah kelolaannya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah.

Iklan

Pada Sabtu, media melaporkan tiga pelajar lelaki Tingkatan Satu ditahan bagi membantu siasatan kes seorang rakan sekolah yang mengalami keretakan buku lali kiri selepas dipercayai menjadi mangsa buli.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, ketiga-tiga suspek berusia 13 tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat ibu mangsa pada malam Khamis.

Iklan

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya serta Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, JPN Perlis turut menyeru masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu proses siasatan yang sedang berjalan.