KUANTAN – Tiga gadis ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya atau ‘Superman’ yang videonya tular di media sosial baru-baru ini.
Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Pintasan Kuantan (Bypass Kuantan) pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum rakaman aksi itu tular di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, ketiga-tiga individu berusia antara 18 hingga 21 tahun ditahan pada Sabtu susulan siasatan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan.
"Dua gadis yang ditahan bekerja sebagai pembantu kedai manakala seorang lagi merupakan penyambut tetamu sebuah hotel di daerah ini.
"Hasil soal siasat mendapati ketiga-tiga mereka mengaku terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya tersebut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 48 saat memaparkan sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya termasuk aksi ‘Superman’ di Jalan Pintasan Kuantan.
Menerusi rakaman itu, beberapa penunggang dilihat bergerak secara berkumpulan pada kelajuan tinggi sambil melakukan aksi meniarap di atas motosikal masing-masing.
Perbuatan tersebut mengundang kebimbangan kerana boleh membahayakan keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Mengulas lanjut, Ashari berkata, hasil siasatan membawa kepada pengesanan pemilik motosikal yang dipercayai terlibat sebelum beberapa individu tampil ke Balai Polis Trafik Kuantan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, polis turut merampas tiga motosikal jenis Yamaha LC135 bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya," katanya.
Dalam pada itu, Ashari menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan aksi berbahaya sehingga mengancam keselamatan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk meraih perhatian dengan melakukan aksi yang menyalahi undang-undang.
"Jalan raya bukan tempat untuk berlumba atau menunjukkan keberanian, sebaliknya perlu digunakan secara berhemah dan bertanggungjawab.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas atau perlumbaan haram diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan segera diambil," katanya.