PRN Negeri Sembilan: Calon PH, Amanah perlu jaga akhlak ketika kempen, elak fitnah -Dzulkefly

Iklan
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ditemani calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Ustaz Muhammad Allif Ibrahim ketika bertemu jentera di PDM Astana Raja, di sini, pagi tadi.

REMBAU – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan semua calon Pakatan Harapan (PH), khususnya daripada Amanah, supaya menjaga akhlak dan keperibadian sepanjang tempoh berkempen.

Beliau berkata, persaingan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak menyebarkan fitnah, membuat tohmahan atau menyerang pihak lawan secara keterlaluan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kempen perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan tanggungjawab agar rakyat dapat menilai sendiri kewibawaan calon yang diketengahkan.

“Saya mahu kita menjaga akhlak dan keperibadian. Penerangan yang dibuat tidak perlulah sehingga memfitnah atau mentohmah pihak lawan.

Iklan

“Walaupun persaingan politik sememangnya begitu sifatnya, kita perlu memastikan kempen berjalan dengan lancar dan baik,” katanya ketika ditemui selepas bersama calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, Ustaz Muhammad Allif Ibrahim di Kampung Astana Raja, di sini, pagi tadi.

Dzulkefly berkata, persaingan pada pilihan raya negeri itu disifatkannya sebagai satu ‘brotherly fight’, iaitu persaingan antara parti yang menjadi rakan di peringkat Persekutuan tetapi bertanding sebagai lawan di negeri berkenaan.

Iklan

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak mengelakkan perseteruan dan persengketaan yang tidak perlu sehingga boleh mengeruhkan suasana politik.

“Ia persaingan antara kawan di Persekutuan tetapi lawan di negeri ini. Kita akan terus bersaing secara sihat dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Ustaz Alif yang pernah berkhidmat sebagai penyelaras DUN serta telah dikenali masyarakat setempat.

Katanya, sekiranya diberikan mandat, calon berkenaan diyakini mampu meneruskan khidmat kepada rakyat dengan dibantu pasukan yang bersemangat.

Dzulkefly turut memuji prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan yang disifatkannya telah melaksanakan tugas dengan baik serta membawa pelbagai pencapaian kepada negeri itu.

Beliau yakin calon-calon yang diketengahkan mampu meneruskan agenda perubahan dan reformasi yang telah dilaksanakan oleh kepimpinan kerajaan negeri.