KOTA BHARU -"Beza umur 54 tahun, orang gelar kami datuk dan cucu."
Demikian kata Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 28, yang sebelum ini dikenali sebagai 'gadis api misteri' apabila pernah tular sekitar tahun 2012 hingga 2020.
Anak kedua daripada empat beradik itu merupakan cucu kepada Zainab Sulaiman, 88, yang dikenali sebagai Mok Nab selepas kisah keluarga ini menjadi perhatian ramai apabila mendakwa berlakunya kemunculan api misteri di kediaman mereka di Kampung Kubang Terap, Melor dan Penambang.
Wan Nor Fatihah kembali tular apabila memilih seorang pengamal perubatan Islam, Mokhtar Mohamed, 82, sebagai suami.
Menurutnya, mereka mendirikan rumah tangga pada 24 Jun lalu selepas berkenalan selama dua tahun.
"Pada awalnya keputusan saya untuk mengahwini suami yang merupakan duda selepas kematian isteri Februari lalu tidak dipersetujui oleh nenek serta ahli keluarga lain," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Namun menurutnya, selepas memikirkan hanya suami yang memahami situasi yang dilalui serta pada masa sama boleh merawatnya, ia adalah keputusan terbaik.
Ujarnya yang pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini dengan lelaki berusia 40-an memberitahu usia perkahwinan mereka hanya mampu bertahan setahun sahaja.
Tambah Wan Nor Fatihah, dia kini menetap di rumah suami di Kampung Chat, Bachok.
Kata dia, suaminya mempunyai tujuh orang anak berusia 61 hingga 42 tahun.
"Sebelum ini ramai yang beranggapan saya mental dan sebagainya disebabkan kejadian api misteri tersebut. Bukan mudah untuk saya lalui situasi berkenaan.
"Alhamdulillah, kehidupan saya kini lebih baik disamping suami. Tentang perbezaan usia, itu hanya perkara kecil walaupun kami sering digelar cucu dan datuk bila muncul di khalayak ramai," katanya.