Medan selera 223 dilanda banjir lagi

Iklan
Anggota bomba sedang memantau keadaan banjir di Medan Selera 223, Seksyen 51A susulan hujan lebat pada Sabtu.

PETALING JAYA - Medan Selera 223 di Seksyen 51A di sini dilanda banjir kilat lagi susulan hujan lebat pada Sabtu.

Kejadian itu merupakan kali ketiga selepas banjir kilat sebelum ini dilaporkan melanda medan selera berkenaan pada 20 April dan 6 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Menerusi rakaman siaran langsung di TikTok, beberapa peniaga dan orang awam dilihat meredah air, manakala barangan perniagaan diletakkan di tempat lebih tinggi bagi mengelakkannya ditenggelami banjir.

Dalam kejadian pada 20 April lalu, paras air dilaporkan mencecah pinggang sebelum banjir berulang kira-kira dua minggu kemudian.

Iklan

Banjir pada 6 Mei lalu menyaksikan kira-kira 60 gerai ditenggelami air sedalam 1.2 meter, selain beberapa kenderaan di kawasan parkir turut tenggelam.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini memaklumkan kejadian berkenaan berpunca daripada taburan hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh singkat dari kawasan hulu di Kuala Lumpur.

Iklan

Hujan luar biasa itu menyebabkan Sungai Penchala gagal menampung aliran air, selain berlaku aliran balik dari Sungai Klang yang mencapai kapasiti maksimum.

Kerja pembaikan tebing sungai yang menyebabkan penyempitan aliran di bahagian hilir turut dikenal pasti mempercepatkan limpahan air ketika hujan lebat.

Dalam kejadian berasingan, sebuah kereta dilaporkan ditenggelami air sehingga paras tingkap berhampiran kawasan Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA), Jalan Damansara, di sini.

Banjir kilat turut melanda kawasan berhampiran pejabat di Seksyen 51A dengan beberapa kereta dilihat terkandas.

Rakaman dari lokasi menunjukkan sekurang-kurangnya enam kereta ditenggelami air sehingga kira-kira separuh bahagian badan kenderaan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor ketika dihubungi pada Sabtu memaklumkan pasukan sedang bergerak ke lokasi terjejas banjir di sekitar Petaling Jaya.

Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan banjir kilat di medan selera itu pada jam 4.35 petang.

"Seramai 12 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh empat kilometer," katanya.

Beliau berkata, setibanya di lokasi pada jam 4.55 petang, pihak bomba mendapati banjir berkedalaman dua meter.

"Air menunjukkan trend menurun dan tiada mangsa yang terlibat atau pemindahan yang dilakukan," katanya.