KUANTAN – Tiada hari berlalu tanpa doa seorang ibu yang mengharapkan keajaiban buat anak bongsunya yang kini terlantar sejak lapan bulan lalu akibat komplikasi kesihatan yang menjejaskan fungsi otak.
Bagi Noorlizawati Abdul Hamid, 43, setiap detik dilalui dengan penuh ketabahan demi melihat anaknya, Ratu Dahlia Melissa Radzi yang berusia tiga tahun empat bulan, kembali pulih seperti kanak-kanak lain.
Menurutnya, walaupun sedar keadaan fizikal anaknya itu kini bergantung sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi, namun harapan untuk melihat Dahlia sihat tidak pernah padam.
"Saya tidak minta lebih, cuma mengharapkan ada syifa dan keajaiban buat Dahlia.
"Setiap hari saya berdoa, jika ALLAH sayangkan dia, janganlah tinggalkan dia seorang diri di dunia ini.
"Jika ujian ini perlu kami tempoh sepanjang hayat, ambillah kami bersama," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Sungai Karang Darat di sini pada Sabtu.
Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, penantian selama lima tahun untuk menimang cahaya mata perempuan akhirnya menjadi detik paling bermakna sebelum kegembiraan itu bertukar menjadi ujian berat buat dirinya.
Kongsinya, semua bermula pada 20 September tahun lalu apabila Dahlia mengalami cirit-birit sebelum menunjukkan tanda-tanda dehidrasi.
Ujar Noorlizawati, mereka menganggap gejala tersebut adalah perkara biasa kerana sebelum ini jika berlaku pertukaran susu atau cirit-birit, masalah itu akan pulih dalam tempoh sehari dua.
"Kami segera membawa dia ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan selepas melihat keadaan berbeza di mana bibir dan lidahnya sangat kering.
"Ketika mendapat rawatan, Dahlia diberikan bancuhan cecair hidrasi untuk diminum sebelum tiba-tiba diserang sawan beberapa minit kemudian," ujarnya.
Menceritakan semula detik cemas itu, Noorlizawati berkata, Dahlia kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sebelum dimasukkan ke Zon Merah dan seterusnya Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
Menurutnya, doktor memaklumkan keadaan anaknya ketika itu amat kritikal dengan peluang untuk terus hidup hanya 50-50.
"Doktor beritahu kami perlu bersedia dengan segala kemungkinan kerana dia tidak boleh bernafas sendiri ketika itu, dan buah pinggangnya juga terjejas.
"Dahlia bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sepanjang 65 hari dirawat di PICU sebelum menunjukkan perkembangan positif,"ceritanya lagi.
Bagaimanapun, katanya, selepas keluar dari hospital, Dahlia masih dalam keadaan kaku dan tidak mampu bergerak seperti biasa.
Noorlizawati memberitahu, kehidupannya kini tertumpu sepenuhnya kepada penjagaan anak, manakala suaminya, Radzi Mohd Nor, 47, bekerja sendiri untuk menyara keluarga.
"Dia masih terlantar dan tidak boleh bergerak. Kami kena jaga dia setiap masa," katanya yang dua lagi anak berusia 10 dan sembilan tahun yang masih bersekolah.
Menurutnya, cabaran menjaga Dahlia bukan sahaja dari segi fizikal, malah memerlukan perhatian berterusan termasuk waktu malam.
"Kadang-kadang dia tidak tidur dua hari, kami pun tidak boleh tidur. Kalau dia berjaga, kami kena ada di sisi dia.
"Bagi saya dapat tidur sekejap pun sudah cukup, janji ada tenaga untuk jaga dia," luahnya.
Noorlizawati memaklumkan, keadaan anaknya juga pernah menyebabkan mereka kerap keluar masuk hospital, namun kini menunjukkan sedikit kestabilan.
"Sebelum ini, tiga atau empat hari di rumah sudah perlu masuk hospital semula dan sekarang Alhamdulillah sedikit stabil," katanya yang turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Dahlia Melissa melalui akaun CIMB Bank bernombor 7620665031 atas nama Noorlizawati.