PRN Negeri Sembilan: Cuaca baik, suasana terkawal sebelum proses penamaan calon bermula

Iklan
Suasana sekitar Dewan Besar Kuala Klawang, Jelebu yang menjadi Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi DUN Chennah, Pertang, Klawang dan Sungai Lui. Foto Bernama

SEREMBAN - Cuaca dilaporkan baik pada pagi hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung di lapan pusat penamaan calon (PPC), hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang giat melakukan persiapan akhir bagi memastikan kelancaran perjalanan proses berkenaan yang bermula pada 9 pagi sebelum ditutup sejam kemudian.

Iklan
Iklan

Pengamal media juga dilihat mula berkumpul di pekarangan PPC seawal 7 pagi bagi membuat liputan selain kehadiran berperingkat penyokong parti politik yang hadir memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Suasana di sekitar Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Rembau masih tenang sekitar jam 6.30 pagi Sabtu. Foto Bernama

Iklan

Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun lepas dan SPR menetapkan 28 Julai sebagai hari pengundian awal, manakala 1 Ogos ialah hari pengundian.

Sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.

Iklan

Anggota polis mula bertugas mengawal lokasi-lokasi perhimpunan parti politik sebelum penyokong dan calon bergerak ke pusat penamaan calon di Dewan Besar Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Jempol pada Sabtu. Foto Bernama

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) (25) dan Perikatan Nasional (PN) (11), serta masing-masing satu kerusi bagi Parti Orang Asli Malaysia (ASLI), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi parti terakhir yang mengumumkan penyertaan dalam PRN Negeri Sembilan secara solo dan memutuskan untuk bertanding di 24 kerusi DUN termasuk dua daripada Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) yang menggunakan logo Bersatu.

Dalam PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN sebanyak 14 kerusi dan PN dengan lima kerusi. - Bernama