SEREMBAN - Polis melaksanakan pengurusan akses ke bangunan Wisma Negeri terhadap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan susulan pengumuman pembatalan pelantikan yang dibuat oleh pihak Istana.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tindakan berkenaan bagi memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis terbabit terus terpelihara.
Menurutnya, kawalan keselamatan turut dilaksanakan di Galeri Diraja Tuanku Ja'afar dan Balai Undang Luak Sungei Ujong
"Polis menghormati sepenuhnya proses perlembagaan, perundangan dan institusi yang sedang berjalan serta tidak akan membuat sebarang penentuan terhadap perkara yang berada di luar bidang kuasa pasukan ini,"katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, sebarang kawalan akses di lokasi berkaitan dilaksanakan secara terkawal berdasarkan penilaian keselamatan semasa, keperluan pengurusan premis serta bagi mengelakkan sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam.
Ujarnya, tindakan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai polis memihak atau memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pihak dalam perkara yang sedang melalui proses perlembagaan dan perundangan.
"Sebagai agensi yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan menguatkuasakan undang-undang, polis akan terus melaksanakan tugas secara profesional, adil dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
"Polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi, menganggu ketenteraman awam atau mengancam keselamatan mana-mana individu dan institusi,"katanya.
Justeru beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang, menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan serta tidak membuat atau menyebarkan spekulasi dan maklumat yang tidak disahkan kerana boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya, polis akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah keselamatan yang bersesuaian bagi memastikan keamanan, keselamatan serta ketenteraman awam di Negeri Sembilan sentiasa terpelihara.
Sebelum ini Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memaklumkan barisan Exco tidak dibenarkan memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri di sini sejak Rabu termasuk menjalankan tugas mereka.
Justeru, beliau memohon pihak berkuasa yang berkenaan untuk menilai semula arahan tersebut dengan segera termasuk asas dan skopnya, dengan mengambil kira pertikaian yang masih belum dimuktamadkan.