SEREMBAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membentuk sebuah gabungan baharu yang lebih hebat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
"Saya nak berikan gambaran bahawa selepas PRN Negeri Sembilan ini, Bersatu tidak berseorangan lagi.
"Insya-ALLAH kita akan bentuk satu gabungan yang hebat selepas pilihan raya ini.
"Sebagaimana yang saya sebutkan sewaktu saya menubuhkan Perikatan Nasional dulu, banyak pemimpin datang yang datang dan antaranya Presiden Parti Urimai, Prof Dr P Ramasamy yang telah nyatakan kesediaan untuk bersama-sama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Bersatu dalam PRN Negeri Sembilan pada Jumaat.
Menurutnya, mereka telah pun duduk berbincang tentang apakah konsep kerjasama yang boleh dibentuk dalam tempoh kurang setahun.
Jelas beliau, ini bagi membolehkan mereka lebih bersedia dengan kekuatan yang baharu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.