KOTA BHARU – Persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang bermula di Johor sebelum diteruskan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dijangka memberi impak positif kepada usaha menumbangkan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pengalaman pada PRN Johor menunjukkan persefahaman berkenaan memberikan hasil yang memberangsangkan apabila BN mencatat keputusan lebih baik berbanding jangkaan awal.
“Matlamat besar kami ialah menyekat PH. Di Johor, berdasarkan kajian awal, banyak pihak menjangkakan BN hanya menang 33 kerusi, tetapi hasil daripada persefahaman yang dibuat ini akhirnya BN menang 48 kerusi.
“Jadi, ia merupakan satu pencapaian yang melonjak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, pendekatan itu menjadi langkah permulaan yang akan dinilai sebelum dipertimbangkan untuk diperluaskan pada masa hadapan.
“Kami hendak melihat setakat mana kejayaannya. Kalau ia berjalan dengan baik, difahami oleh ahli-ahli di bawah dan membawa kebaikan kepada negara, mungkin kita boleh panjangkan lagi pada masa hadapan.
“Sejauh mana ia akan pergi, tidak boleh diceritakan lagi kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini persefahaman tersebut masih terhad kepada Johor dan Negeri Sembilan serta belum boleh dianggap sebagai kerjasama rasmi antara kedua-dua pihak.
“Sebab itu ada tempat yang Pas tidak bertanding, BN bertanding dan di tempat lain BN tidak bertanding, Pas pula bertanding, manakala bagi negeri-negeri lain perkara itu perlu dilihat dalam tempoh yang berbeza,” katanya.
Mengulas sasaran di Negeri Sembilan, Mohd Amar berkata, matlamat utama adalah untuk mengambil alih pentadbiran negeri daripada PH.
“Di Negeri Sembilan, matlamat kami adalah untuk mengambil alih kuasa kerana ketika ini PH menguasai negeri tersebut.
“Kami harap melalui persefahaman ini, kami boleh mengambil alih kuasa politik itu,” katanya.