DALAM dunia yang bergerak pantas hari ini, jawatan sering dianggap sebagai lambang kejayaan. Semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin besar penghormatan yang diterima. Telefon tidak putus berdering, jemputan datang bertalu-talu dan setiap pandangan seolah-olah menjadi perhatian ramai.
Namun, satu perkara yang sering dilupakan ialah jawatan hanyalah amanah yang bersifat sementara. Apabila tempoh berakhir, persaraan tiba atau seseorang tidak lagi berada di tampuk kuasa, layanan yang diterima juga boleh berubah.
Hakikat inilah yang sepatutnya menjadi renungan, bukan sahaja kepada ahli politik, malah kepada semua pemegang jawatan termasuk dalam industri media.
Dalam profesion kewartawanan, pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memperkasakan industri. Perbincangan banyak tertumpu kepada cabaran transformasi digital, ancaman kecerdasan buatan (AI), etika kewartawanan, kebebasan media serta usaha memperkukuhkan perundangan dan akta berkaitan industri.
Semua itu sememangnya penting. Namun, satu persoalan yang jarang dibangkitkan ialah sejauh mana negara benar-benar memberi perhatian kepada pembangunan modal insan dalam kalangan pengamal media.
Realitinya, sehingga kini masih belum wujud satu dana pendidikan khusus yang komprehensif bagi membantu wartawan, editor, jurugambar, juruvideo dan pengamal media menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara tersusun.
Ramai pengamal media terpaksa menggunakan wang sendiri untuk mengikuti pengajian sarjana atau doktor falsafah. Ada yang mengorbankan cuti tahunan, masa bersama keluarga dan komitmen hujung minggu semata-mata untuk meningkatkan ilmu.
Mereka melakukannya bukan kerana mengejar gelaran akademik, tetapi kerana percaya bahawa ilmu merupakan pelaburan yang kekal apabila jawatan sudah tiada.
Ironinya apabila bercakap mengenai inovasi, pelbagai dana diwujudkan bagi menggalakkan penyelidikan, pembangunan teknologi dan penciptaan idea baharu. Langkah itu sememangnya wajar dipuji kerana inovasi menjadi pemacu kepada kemajuan negara.
Namun begitu, inovasi tidak sepatutnya dilihat hanya dari sudut menghasilkan produk atau teknologi. Inovasi sebenar bermula dengan manusia yang memiliki ilmu, kemahiran dan keupayaan berfikir secara kritikal.
Apalah ertinya dana inovasi yang besar jika kelompok yang bertanggungjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat masih bergelut untuk mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti.
Pengamal media bukan sekadar melaporkan berita. Mereka membentuk naratif, mendidik masyarakat, menyemak fakta dan menjadi jambatan antara rakyat dengan kerajaan. Tanggungjawab sebesar ini memerlukan proses pembelajaran yang berterusan.
Begitu juga ahli politik. Ketika memegang jawatan menteri, timbalan menteri atau wakil rakyat, ramai yang mendapat perhatian dan penghormatan. Tetapi apabila tidak lagi berada dalam kerajaan atau kalah pilihan raya, tidak semua mempunyai ruang dan peluang yang sama untuk meneruskan pembangunan diri.
Sebab itulah seseorang tidak seharusnya terlalu berbangga dengan jawatan yang dimiliki. Yang akan terus kekal ialah ilmu, pengalaman dan keupayaan untuk terus menyumbang kepada masyarakat walaupun tanpa sebarang gelaran.
Mungkin sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan satu mekanisme pembiayaan pendidikan khusus kepada pengamal media sama ada dalam bentuk biasiswa, geran penyelidikan atau dana latihan akademik. Pelaburan terhadap ilmu tidak pernah merugikan negara.
*Asmaliza Mansor ialah Sub Editor Sinar Harian