KUANTAN - Keputusan Mahkamah Rayuan secara sebulat suara menolak semua rayuan difailkan Berjaya Hills Resort Berhad & Ors terhadap Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang membuktikan tindakan kerajaan Pahang menyemak kadar cukai tanah sah di sisi undang-undang.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan panel hakim memutuskan kuasa menetapkan, menyemak dan meminda kadar cukai tanah merupakan kuasa eksklusif Pihak Berkuasa Negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Tanah Negara.
Menurutnya, kerajaan negeri menghormati proses perundangan dan melihat keputusan itu sebagai satu pengesahan bahawa tindakan yang diambil dibuat berlandaskan undang-undang, mengikut bidang kuasa diperuntukkan serta berpaksikan prinsip tadbir urus yang baik.
"Keputusan Mahkamah Rayuan ini membuktikan kerajaan negeri tidak pernah bertindak sewenang-wenangnya dalam melaksanakan dasar pentadbiran.
Panel Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk P Ravinthran bersama Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Dr Choo Kah Sing sebulat suara menolak kesemua lima rayuan yang difailkan syarikat terbabit dan mengekalkan keputusan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Dalam prosiding rayuan tersebut pada Khamis, kerajaan negeri telah memohon kos RM500,000 bagi kesemua lima rayuan.
Mengambil kira hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan perayu membayar kos RM100,000 kepada kerajaan negeri.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan hak-hak negeri ini melalui saluran undang-undang.
"Usaha itu bagi memastikan setiap dasar yang dilaksanakan sentiasa berlandaskan Perlembagaan, undang-undang dan prinsip tadbir urus yang berintegriti," katanya.