Jangan calarkan reputasi destinasi pelaburan negara

Iklan
Premis Network School di Forest City Iskandar Puteri.

SEJAK kebelakangan ini, heboh diperkatakan tentang operasi Network School di Forest City, Johor yang didakwa turut disertai warga Israel. Kontroversi tercetus selepas timbul dakwaan bahawa program berkenaan melibatkan individu tertentu yang memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua. Selain itu, timbul persoalan mengenai status operasi, bentuk aktiviti serta objektif sebenar program berkenaan.

Walaupun dakwaan itu masih dalam siasatan dan belum ada kesahihan, ia sudah cukup mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang mahukan penjelasan secara telus daripada pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Tindakan pantas Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengarahkan siasatan menyeluruh melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi berkaitan wajar dipuji.

Ketegasan beliau bahawa Johor tidak akan sesekali menjadi tapak kepada mana-mana ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang serta kepentingan negara memberikan keyakinan bahawa aspek keselamatan tidak akan dikompromikan.

Iklan

Pendirian Onn Hafiz diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dengan tegas mengatakan bahawa Malaysia akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan memasuki negara ini.

Susulan itu, JIM bersama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor serta PDRM menjalankan operasi pemeriksaan melibatkan 266 warga asing dari 40 negara.

Iklan

Apa yang berlaku ini menjadi peringatan bahawa keterbukaan terhadap pelaburan antarabangsa mesti disertai mekanisme pemantauan yang rapi serta penguatkuasaan berkesan. Sebarang kelemahan dalam pemantauan bukan sahaja berpotensi mengundang risiko, malah boleh mencalar reputasi destinasi pelaburan bertaraf antarabangsa seperti Forest City.

Justeru, segala dakwaan berhubung isu ini wajar disiasat secara menyeluruh, telus dan profesional berlandaskan undang-undang. Hanya dengan tindakan tegas, keyakinan rakyat dapat dipulihkan, sekali gus memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang terbuka kepada pelaburan, namun tidak sesekali berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara.