Jangan tunggu krisis baru bersedia

Iklan
Dalam soal keterjaminan makanan, persediaan bijak lebih penting daripada pembelian yang panik. Foto hiasan

KETERJAMINAN makanan bukan hanya soal memastikan rak pasar raya sentiasa dipenuhi, tetapi juga keupayaan negara dan rakyat menghadapi gangguan bekalan apabila krisis berlaku.

Banjir, cuaca ekstrem, konflik geopolitik atau gangguan pengangkutan boleh menjejaskan penghantaran makanan, sekali gus mengingatkan kita bahawa bekalan harian tidak boleh dianggap terjamin selama-lamanya.

Iklan
Iklan

Perhatian terhadap perkara ini semakin meningkat apabila sekurang-kurangnya 33 negara dilaporkan menggalakkan rakyat menyediakan bekalan makanan, air minuman dan barangan asas untuk menghadapi kemungkinan kecemasan.

Ada negara menyarankan persediaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 72 jam.

Iklan

Di Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 2 November memaklumkan kapasiti bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya enam bulan dan tiada keperluan melaksanakan langkah kecemasan ketika ini.

Dalam masa sama, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan makanan berlebihan menjelang Monsun Timur Laut.

Iklan

Jaminan bekalan negara bukan alasan untuk mengabaikan persediaan isi rumah, manakala persediaan keluarga pula tidak bermaksud memenuhi rumah dengan barang sehingga menjejaskan bekalan untuk orang lain.

Setiap keluarga perlu mempunyai perancangan munasabah berdasarkan keperluan, kemampuan dan risiko kawasan masing-masing. Bekalan makanan tahan lama, air minuman serta keperluan asas boleh disediakan secara berperingkat dan digunakan mengikut giliran supaya tidak membazir.

Pendidikan pengurusan stok dan tarikh luput juga penting agar persediaan tidak berakhir sebagai pembaziran.

Pada masa sama, kerajaan perlu terus memperkukuh pengeluaran tempatan, kepelbagaian sumber import, penyimpanan strategik dan kelancaran pengedaran, khususnya ketika bencana menjejaskan jalan serta logistik.

Kesiapsiagaan bukan tindakan kerana takut, sebaliknya langkah bertanggungjawab. Jangan tunggu rak kosong atau laluan terputus untuk mula berfikir tentang makanan.

Dalam soal keterjaminan makanan, persediaan bijak lebih penting daripada pembelian yang panik.