SEREMBAN - Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini secara rasminya akan diumumkan pada Khamis.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, baki 11 kerusi daripada 36 DUN yang belum diumumkan oleh parti itu akan ditentukan oleh PN.
"Kita ada perbincangan dengan pihak lain. Esok akan ditentukan dan diumumkan malam esok," katanya ringkas selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16 di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini.
Dalam pada itu, berkenaan dengan calon 'poster boy' pula, beliau memaklumkan ia akan diumumkan kemudian.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN hanya mengumumkan 25 calon kerana masih menunggu keputusan rundingan dengan PN.
"Tapi jangan risau kita buat persefahaman dengan rakan yang boleh dipercayai," katanya selepas selesai mengumumkan seramai 25 calon BN di lokasi yang sama.
PN dijadual mengumumkan Calon PRN Negeri Sembilan 2026 di Kompleks Pas Seremban pada malam Khamis.
Pengumuman tersebut dijangka akan dibuat oleh Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sebelum ini media melaporkan, Pas mengakui sedang mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan yang positif.