KUALA LUMPUR - Tiga beradik lelaki yang juga ahli perniagaan didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen, tujuh tahun lepas.
Amir Hassan, 58, yang berdepan lima pertuduhan serta dua adiknya iaitu Anuar, 56, (berdepan empat pertuduhan) dan Mohd Amin, 54, (tiga pertuduhan) masing-masing mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Norma Ismail, Datin Surita Budin serta Azrul Darus.
Iklan
Iklan
Ketiga-tiga beradik didakwa menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti, sedangkan mereka bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti itu.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di beberapa restoran di Gombak dan Kempas, Johor Bahru selain beberapa hotel di sini, Putrajaya serta Petaling Jaya antara Mac 2019 hingga Oktober 2019 mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah yang membenarkan Anuar diikat jamin sebanyak RM90,000 manakala Amir dan Mohd Amin masing-masing sebanyak RM80,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan, menetapkan 18 Ogos untuk sebutan semula kes.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Mohd Izuddin Mohamad dan Jonathan Chin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Datuk Rosli Kamaruddin serta Muhammad Zaim Rosli.- Bernama
Artikel Berkaitan