Bersatu adakan sidang media khas malam ini, intipati jadi tanda tanya

Iklan
Notis sidang media khas Bersatu pada Rabu.

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijadual mengadakan sidang media khas pada jam 10 malam ini di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, sekali gus mencetuskan perhatian terhadap perkembangan terkini yang melanda parti itu sejak kebelakangan ini.

Notis sidang media yang dikeluarkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memaklumkan semua wakil media dijemput menghadiri sidang media khas berkenaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, notis sidang media khas berkenaan tidak memperincikan intipati atau perkara yang akan diumumkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Sidang media itu diadakan ketika Bersatu berdepan pelbagai spekulasi susulan beberapa perkembangan dalaman yang mendapat perhatian umum sejak beberapa hari lalu.

Iklan

Antara isu yang menjadi tumpuan termasuklah peletakan jawatan beberapa anggota MPT termasuk Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Perkara itu mendapat perhatian bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempersoalkan sama ada MPT parti itu masih mempunyai kuorum mencukupi untuk bermesyuarat dan membuat keputusan secara sah susulan peletakan jawatan beberapa MPT.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Bersatu akan meneliti dan menyelesaikan secara dalaman isu peletakan jawatan beberapa Ahli MPT.

Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mendapatkan laporan lengkap berhubung perkara itu sebelum sebarang keputusan atau tindakan diambil.

Pada Khamis, Abu Bakar dilaporkan melepaskan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.

Selain Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor turut mengambil keputusan sama apabila menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Ahli MPT pada minggu lalu.

Pada Jumaat, seorang lagi Ahli MPT Bersatu, Aziman Hadi Nazri turut mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta.