30 kucing didakwa diabaikan dalam rumah kotor, bau busuk

Iklan
Keadaan di dalam premis di Kampung Chemomoi, Bentong yang menempatkan puluhan haiwan terabai dalam deretan sangkar besi berselerak dengan lantai dipenuhi sisa kotoran. Foto Facebook Kim Hyo Kyen

KUANTAN – Kira-kira 30 ekor kucing didakwa diabaikan dalam sebuah rumah di Kampung Chemomoi, Bentong sehingga menyebabkan dua daripadanya mati.

Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP), Jurina Abdul Rani berkata, berdasarkan maklumat diterima, haiwan terbabit didakwa dipelihara dalam keadaan persekitaran rumah yang teramat kotor dan berbau busuk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, satu laporan polis serta aduan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah dibuat terhadap individu terbabit bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Namun, segala dakwaan berkenaan kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan disahkan secara rasmi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Ruang dalam premis berkenaan didapati teramat kotor dengan struktur lantai yang rosak serta dipenuhi dengan deretan sangkar besi yang menempatkan haiwan-haiwan kurungan. Foto Facebook Kim Hyo Kyen

Terdahulu, insiden berkenaan tular di laman sosial Facebook selepas seorang pengguna memuat naik hantaran berkaitan aduan rasmi kes pengabaian yang didakwa melibatkan aktiviti pengumpulan haiwan secara berlebihan.

Iklan

Hantaran itu turut memaparkan butiran laporan kepada sistem MyAnimalWelfare DVS bertarikh 12 Julai lalu, memperincikan haiwan terbabit terdiri daripada 30 ekor kucing, tiga ekor ayam dan seekor arnab masih hidup, selain dua ekor kucing yang telah mati.

Jurina berkata, DVS dan polis perlu menjalankan siasatan termasuk pemeriksaan terhadap premis dan penilaian keadaan haiwan yang masih berada di lokasi oleh pegawai veterinar.

"Semua bukti termasuk laporan veterinar, gambar, video dan keterangan saksi perlu direkodkan dengan sempurna bagi membantu siasatan.

"Sekiranya terdapat haiwan yang masih berada di bawah jagaan individu terbabit dan dipercayai sedang menderita atau berisiko mengalami penderitaan, tindakan perlindungan segera perlu dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.

Keadaan persekitaran sebuah premis di Kampung Chemomoi, Bentong yang didakwa menjadi lokasi pengabaian lebih 30 ekor haiwan termasuk kucing, arnab dan ayam oleh seorang individu. Foto Facebook Kim Hyo Kyen

Beliau menegaskan, pihaknya tidak meminta mana-mana individu dihukum tanpa siasatan atau proses perundangan, sebaliknya berharap laporan berkenaan diberikan perhatian sewajarnya.

"Kami mahu siasatan dijalankan secara profesional dan telus.

"Jika hasil siasatan mendapati terdapat bukti kukuh berlakunya pengabaian atau penganiayaan, tindakan undang-undang yang setimpal perlu diambil terhadap individu tersebut," jelasnya.

Menurut Jurina, Akta Kebajikan Haiwan 2015 mewajibkan pemilik atau penjaga memastikan keperluan asas haiwan dipenuhi termasuk menyediakan persekitaran sesuai, makanan, air bersih, rawatan serta perlindungan sewajarnya.

"Kematian haiwan akibat kecuaian bukan perkara kecil kerana ia melibatkan kehilangan nyawa yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya penjagaan, makanan, rawatan dan pemantauan diberikan pada waktunya.

"Haiwan yang berada di bawah jagaan manusia bergantung sepenuhnya kepada penjaganya untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa memaklumkan perkembangan siasatan kepada pihaknya bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penguatkuasaan undang-undang berkaitan kebajikan haiwan.

Katanya, haiwan tidak mampu membuat laporan polis, mempertahankan diri atau menceritakan penderitaan yang dialami.

"Manusia yang melihat dan mengetahui kejadian ini mempunyai tanggungjawab moral untuk menjadi suara mereka.

"Jangan tunggu lebih banyak haiwan mati sebelum tindakan diambil. Siasat dengan segera, selamatkan haiwan yang masih hidup dan tegakkan undang-undang tanpa pilih kasih," jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan kes pengabaian dan penganiayaan haiwan supaya menyalurkannya melalui saluran rasmi jabatan veterinar menerusi sistem MyAnimalWelfare serta memberikan kerjasama kepada pihak penyiasat.