KUALA LUMPUR - Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) digesa supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi perolehan ladang sawitnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah itu penting bagi memastikan kelestarian pelaburan dan mengelakkan sebarang risiko pada masa akan datang.
Selain itu katanya, pematuhan tersebut bagi menjamin kestabilan kewangan jangka panjang syarikat berkenaan.
“PAC mengambil maklum berhubung penambahbaikan SOP pemerolehan tanah atau estes baru oleh FELCRA yang kini mewajibkan laporan penilaian daya maju perunding luar dibentangkan kepada Lembaga Pengarah.
"FELCRA juga sudah menetapkan tempoh bertenang atau cooling off period selama 15 sehingga 30 hari untuk memeterai perjanjian bagi mengelakkan keputusan dibuat terburu-buru.
Jabatan Audit Negara sebelum ini memberi syor kepada lembaga berkenaan susulan dapatan pengauditan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat tahun lalu berhubung isu kelemahan tatakelola dalam pemerolehan empat ladang sawit komersial.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, PAC turut mengambil maklum keputusan FELCRA menangguhkan sebarang perolehan land bank komersial baharu bagi mengurangkan bebanan kewangan yang mana keutamaan kini disasarkan kepada Program Tanam Semula Estet dengan peruntukan RM52 juta membabitkan 1,846 hektar.
Selain itu katanya, PAC menyambut baik inisiatif pemulihan ladang kurang berdaya maju yang mula membuahkan impak positif.
“Memandangkan kebergantungan FELCRA terhadap tenaga kerja asing masih mencecah 90 peratus, PAC mengambil maklum strategi jangka sederhana dan panjang syarikat.
“Ia merangkumi pelan mekanisasi komprehensif, pemberian insentif khusus, serta penaiktarafan kediaman pekerja bagi menarik penglibatan tenaga tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya juga mengambil maklum semakan semula pengiraan Unjuran Pulangan Pelaburan (ROI) untuk empat estet komersial (Estet Telupid, Dabong, Sungai Rawit 2 dan Aring) menggunakan andaian harga minyak sawit mentah (MSM) yang realistik dan mengambil kira faktor umur.
Katanya, perubahan kos operasi dan keperluan program tanam semula secara besar-besaran menganjakkan titik ROI Estet Telupid dari tahun ke-9 kepada tahun ke-19 (2040).