SHAH ALAM – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baharu selesai membuktikan penyatuan orang Melayu mampu mengembalikan kekuatan politik mereka.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun bentuk kerjasama politik yang terjalin ketika ini masih belum jelas dari segi struktur dan ikatannya, ia perlu diterima sebagai langkah ke arah memperkukuh kekuatan politik orang Melayu.
"Walaupun bentuk kerjasama masih samar-samar dari segi bentuk dan ikatan, ia perlu kita terima sebagai satu langkah ke arah keberkesanan untuk memperkukuhkan kekuatan politik orang Melayu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, keputusan PRN Johor ke-16 yang berlangsung Sabtu lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar apabila memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lapan kerusi.
Mahathir berkata, penyatuan itu bukan bertujuan mempertahankan kebatilan atau melakukan perkara yang tidak baik, sebaliknya perlu dimanfaatkan bagi mengangkat martabat orang Melayu, agama Islam dan kedaulatan negara.
Menurutnya, kekuatan politik yang terhasil juga bukan untuk menekan atau menafikan hak serta kepentingan kaum lain.
"Ia memberi keyakinan kepada orang Melayu untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya tanpa mempertikai hak-hak kaum lain.
"Inilah cara yang kita pegang sejak negara mencapai kemerdekaan dan ia telah berjaya memakmurkan orang Melayu serta kaum-kaum lain.
"Kerana itu, Melayu perlu bersatu dan memperkukuh kekuatan politik mereka. Hanya dengan cara ini tanah air kita akan kekal menjadi hak kita," katanya.