'Tidak adil gambar diambil semasa sampah belum dikutip' - Timbalan Menteri Besar Kelantan

Iklan
Mohamed Fadzli

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menegaskan isu kutipan sampah di negeri ini sentiasa dipantau dan dilaksanakan mengikut jadual, selain meminta orang ramai tidak menyebarkan gambar yang boleh memberi gambaran negatif sebelum kerja-kerja kutipan selesai dilakukan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan mengambil maklum setiap aduan diterima berkaitan kelewatan kutipan sampah, namun keadaan itu perlu dilihat secara adil berdasarkan jadual operasi yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan merakam dan menyebarkan gambar longgokan sampah sebelum pasukan kutipan menjalankan tugas boleh menimbulkan persepsi yang tidak tepat terhadap keadaan sebenar.

"Isu sampah sentiasa dibangkitkan. Walau bagaimanapun, kerja-kerja kutipan sampah adalah mengikut jadual.

Iklan

"Kita menerima aduan tersebut dan mengharapkan kerjasama orang awam untuk mengikut jadual. Namun, adalah tidak adil sekiranya gambar diambil semasa sampah belum dikutip," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Ujar beliau, kerajaan turut mengingatkan syarikat serta pihak pengurusan kutipan sampah supaya melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin bagi memastikan kebersihan negeri sentiasa terpelihara.

Iklan

Pada masa sama, katanya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan membuang sampah ke dalam tong yang disediakan serta bersama-sama menjaga imej Kelantan.

Mengulas cadangan pelaksanaan kutipan sampah dari rumah ke rumah, Mohamed Fadzli memberitahu, perkara itu boleh dipertimbangkan pada masa hadapan.

Bagaimanapun, menurut beliau, pelaksanaannya memerlukan penelitian kerana melibatkan implikasi kewangan yang besar selain keadaan penempatan di kawasan kampung yang berselerak.

"Perkara ini boleh dikaji, namun pelaksanaannya mungkin perlu dibuat secara berperingkat kerana melibatkan kos yang tinggi serta keadaan perumahan di kawasan kampung yang berselerak," katanya